Kanak-kanak cenderung rabun, jalani pemeriksaan awal elak juling atau buta — Pakar Optometri


  • Massa
  • Rabu, 12 Apr 2023

Rabun dalam kalangan kanak-kanak kian meruncing dan menjadi masalah utama kebelakangan ini. — Gambar hiasan

ISU rabun dalam kalangan kanak-kanak semakin hangat diperkatakan di laman sosial dengan golongan ibu bapa antara paling terkesan dengan perkara tersebut.

Kanak-kanak khususnya pelajar yang baru sahaja melangkah ke alam persekolahan terpaksa berhadapan dengan isu rabun dan ia secara tidak langsung mendatangkan masalah buat mereka apabila perlu menjalani rawatan selain perlu memakai cermin mata untuk mengatasi masalah terbabit.

Bertitik tolak daripada itu, ibu bapa juga akan turut terkesan sama dengan masalah itu apabila perlu membelanjakan wang yang banyak bagi mendapatkan rawatan ataupun membelikan sepasang cermin mata buat anak-anak.

Mahu ataupun tidak, pemakaian cermin mata adalah penyelesaian terbaik dalam perkara ini kerana pembedahan Lasik akan menelan kos perbelanjaan yang jauh lebih tinggi dan boleh mendatangkan bebanan buat golongan ibu bapa.

Meskipun masalah rabun kebiasaannya dihadapi oleh individu yang lebih berusia, kebanyakan kanak-kanak pada ketika ini sudah tergolong dalam kategori tersebut dan ia nyata mengundang seribu satu persoalan berkaitan isu terbabit.

Enggan meletakkan kesalahan penuh kepada kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga juga merupakan antara pihak yang perlu bertanggungjawab atas permasalahan ini.

iba

Ibu bapa

Ibu bapa seharusnya lebih prihatin dan peka dengan soal kesihatan mata anak-anak dengan pemantauan rapi perlu dilakukan terhadap mereka.

Umum mengetahui bahawa, kanak-kanak sememangnya gemar menonton televisyen dan rancangan kartun, namun sekiranya ia tidak dikawal dan terlampau banyak tempoh masa diberikan untuk mereka menonton skrin televisyen, ia boleh menjejaskan daya penglihatan mereka.

Penjaga ataupun ibu bapa juga disarankan untuk sentiasa memantau tahap penglihatan anak-anak dengan masalah rabun sebaiknya dikesan dari peringkat awal agar rawatan serta bantuan segera dapat diberikan kepada individu yang terkesan.

as

Kanak-kanak

Tidak dinafikan bahawa kanak-kanak pada hari ini semakin celik teknologi dan gemar beraktiviti secara visual melalui permainan video dan sebagainya.

Namun, perlu diingati budaya membaca dan melihat skrin LCD dalam keadaan kurang pencahayaan juga menjadi salah satu faktor utama masalah rabun dalam kalangan usia mereka.

Sebaiknya, amalkan membaca ataupun menonton televisyen di bilik yang terang dan perlu diiringi dengan aktiviti luar yang lebih bermanfaat dan mewah dengan pemandangan hijau.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, pakar mata, Dr Suraida Abdul Rashid menggesa agar ibu bapa perlu sentiasa peka dengan masalah penglihatan anak-anak bermula di peringkat awal supaya ia boleh dirawat dan dibendung.

Menurutnya, kanak-kanak seawal usia tujuh tahun boleh mengalami masalah rabun atas beberapa faktor antaranya, penyakit keturunan, suka menonton televisyen dan membaca dalam gelap.

"Kanak-kanak sekarang perlu diperiksa segera sekiranya mereka ada masalah penglihatan bagi mengelakkan mereka daripada terus rabun dan semakin teruk jika dibiarkan.

"Ramai ibu bapa masa kini enggan anak mereka memakai cermin mata kerana menganggap masih lagi budak, muda dan sebagainya walhal, mereka akan cenderung untuk juling atau lebih teruk buta sekiranya dibiarkan sehingga meningkat dewasa.

"Ibu bapa perlu akur dengan masalah anak-anak mereka, jika terbukti ada masalah rabun perlu diberikan bantuan penglihatan dengan pemakaian cermin mata ataupun kanta lekap, kalau tidak mereka akan terbiasa dengan pandangan kabur sejak dari kecil dan boleh mengundang kesan juling untuk jangka masa panjang," ujarnya kepada Majoriti.

Ketika ditanya soal rawatan untuk memulihkan masalah rabun, beliau yang merupakan pakar mata di sebuah Klinik Pakar Mata i-Ris, Kota Bharu, Kelantan menjelaskan bahawa, satu-satunya penyelesaian masalah rabun adalah pembedahan Lasik tetapi hanya golongan dewasa sahaja yang boleh menjalani rawatan tersebut.

Kanak-kanak di bawah usia masih belum boleh diberikan rawatan dan sebarang ubat-ubatan yang dijual di luar juga bukan berfungsi untik menghilangkan rabun.

"Ubat mata yang dijual di pasaran ataupun farmasi cuma berfungsi untuk memberi kekuatan kepada sel mata bukannya merawat rabun.

"Ramai yang salah faham sebenarnya, ubat yang terdapat di pasaran hanyalah sejenis vitamin yang mampu mengurangkan tekanan serta stress pada sel mata.

"Sebagai contoh pemakanan sayuran dan buah-buahan, ia membantu dalam memberikan kebaikan kepada mata bukannya merawat rabun," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi maklumat bahawa amalan membaca dalam keadaan baring juga sebenarnya boleh menyumbang kepada masalah penglihatan.

Ini adalah kerana, posisi baring akan menyebabkan kornea mata semakin menipis dan ditambah pula dengan pencahayaan yang kurang, akan membuatkan sel-sel di mata semakin kurang bertenaga dan bermasalah jika dijadikan amalan.

Justeru, beliau menyarankan agar setiap individu baik muda mahupun tua untuk melakukan sedikit aktiviti fizikal di luar bagi meransang bola dan pergerakan mata untuk lebih sihat dan kekal aktif selain hanya melihat skrin peranti sahaja.

Maklum akan isu rabun dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah, Dr Suraida menasihatkan agar golongan ibu bapa khususnya perlu menjalankan pemeriksaan terhadap anak-anak mereka secara berkala di klinik ataupun pusat rawatan berhampiran seawal usia tujuh tahun selain turut meramalkan bahawa tempoh lima tahun akan datang, masalah rabun akan terus meningkat sekiranya tidak dibendung.

Ia bertujuan bagi mengekang sebarang masalah serius yang boleh berlaku dan turut menegaskan bahawa tidak salah sekiranya kanak-kanak dipakaikan cermin mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram