Peluang terakhir 'ulat tiket' bermaharajalela, sistem vendor bakal dilaksana APAD


  • Massa
  • Khamis, 06 Apr 2023

Isu ulat tiket kian meruncing menjelang perayaan Aidilfitri yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi. — Gambar hiasan

ISU ulat tiket kian hangat diperkatakan di laman media susulan perkara itu masih membelenggu masyarakat yang mahu pulang ke kampung halaman sempena perayaan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Bukan satu perkara baharu, isu tersebut kian berlarutan sejak beberapa tahun sebelum dengan golongan pelajar menjadi sasaran pihak berkenaan untuk meraih pendapatan lebih menerusi jualan tiket secara haram.

Ketika minggu pertama Ramadan sebelum ini juga menyaksikan stesen bas sudah mula dipenuhi dengan mereka yang mahu mendapatkan tiket bas sebagai persiapan awal untuk menyambut perayaan bersama keluarga.

Namun, jualan tiket bas dikatakan semakin terhad sehingga memaksa beberapa pihak membeli daripada 'ulat tiket' dengan kadar bayaran yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya.

Mengulas lanjut berkenaan isu terbabit, Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, pihaknya maklum akan isu berkenaan selain sedang merangka perancangan terbaik bagi membanteras ia daripada terus berlarutan.

"Pihak APAD maklum tentang hal itu dan kami sedang dalam proses untuk buat perubahan dari segi akta Rang Undang-Undang untuk menguatkuasakan pelesenan pada terminal di seluruh negara.

"Bila ada lesen, kita akan dapat pantau melalui teknologi sistem 'centralised ticketing service' apabila urusan jual beli tiket akan dikendalikan secara atas talian dan melalui perkhidmatan vendor.

"Ada dua cara untuk orang mendapatkan tiket selepas ini, satu dengan cara pembelian atas talian dan keduanya adalah melalui mesin vendor yang akan diletakkan di setiap terminal bas," ujarnya kepada Majoriti.

Dijangka akan dilaksanakan sepenuhnya selewat-lewatnya bermula tahun hadapan, beberapa terminal bas di kawasan bandar ketika ini sudah mula menerima perkhidmatan vendor dan sistem tersebut.

"Beberapa terminal bas utama misalnya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuantan dan Melaka sudah mula menjalankan sistem 'centralised ticketing service' dan memang sentiasa di bawah pantauan kami.

"Cuma di kawasan terpencil dan di luar bandar yang masih belum menerima perkhidmatan itu dan usaha giat sedang dijalankan oleh APAD untuk segera melaksanakannya dan jangkaan kami, ia akan dapat diselaraskan sepenuhnya bermula tahun hadapan," katanya.

HAR

Sistem 'centralised ticketing service' yang sudah mula dilaksanakan di TBS.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan isu itu didalangi oleh pihak pengurusan syarikat bas itu sendiri yang sengaja menjualnya kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan berlipat ganda di musim perayaan.

Menggesa pihak berkenaan untuk segera menghentikan kegiatan tidak bertanggungjawab itu, Azlan Shah turut mengingatkan bahawa tindakan keras akan dikenakan kepada mereka sekiranya didapati bersalah.

"APAD dengan kerjasama pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan sentiasa memantau segala kegiatan ulat tiket dan jika ada laporan diterima, kami tidak akan teragak-agak untuk kenakan tindakan kepada syarikat yang terlibat," katanya.

Pihak berwajib kini sedang dalam usaha terbaik untuk menjalankan pemantauan terhadap pengendali syarikat bas mahupun individu ulat tiket yang sedang bermaharajalela di musim perayaan ketika ini.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk tidak terlibat sama dalam isu jual beli tiket haram dan mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta untuk segera membuat laporan pada pihak berwajib untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram