Tabung Haji: Masih adakah harapan hibah kembali tinggi


  • Bizz
  • Rabu, 12 Apr 2023

Pelbagai faktor mempengaruhi kadar bayaran dividen yang rendah oleh Tabung Haji.

SETIAP tahun pelabur ternanti-nanti akan pulangan agihan keuntungan atau dividen bagi pelaburan yang telah dilakukan pada 2022. Persekitaran ekonomi global dan domestik pada tahun lalu agak mencabar dan dijangka kekal berterusan sehingga tahun ini dan sudah tentu akan memberi tempias kepada kadar pulangan dividen pelaburan.

Ekonomi dunia berpaksikan kepada prestasi di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi kuasa besar kini semakin dihimpit oleh negara seperti China dan Rusia.

Terbaharu, situasi semasa ekonomi di AS dalam keadaan yang membimbangkan dengan kadar faedah yang tinggi dan keruntuhan bank besar seperti Silicon Valley Bank (SVB).

Meskipun keruntuhan bank SVB tidak memberi kesan langsung pada ekonomi negara, namun kesan kepada pasaran modal akan memberi impak dalam skala kecil negara.

Ini merupakan gambaran awal terhadap impak yang mampu diberikan oleh prestasi semasa ekonomi AS terhadap kadar pulangan dividen atau hibah seperti yang akan diumumkan oleh Tabung Haji pada awal suku kedua ini.

Terdapat banyak ramalan dan jangkaan terhadap kadar pulangan hibah oleh Tabung Haji (TH) memandangkan ia akan bersandarkan kepada situasi ekonomi dunia.

Situasi tidak menentu ekonomi dunia dan ketidakstabilan pasaran ekuiti global dan juga tempatan memberi petanda awal bahawa hibah yang bakal diterima oleh para pendeposit adalah rendah.

Namun, pulangan kadar pulangan hibah ini juga perlu dilihat dari aspek prestasi kewangan Tabung Haji bagi tahun 2022.

Negara mungkin menarik nafas lega apabila krisis Covid-19 sudah mencapai noktahnya namun kesan pasca pandemik ini masih belum berakhir.

Ia memberi kesan langsung terhadap sudut pendapatan TH seperti kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta kelemahan pasaran dan juga perbelanjaan seperti peningkatan inflasi dan kelemahan kadar tukaran mata wang asing.

Malah, institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pemodalan Nasional Bhd (PNB) turut berdepan situasi sama akibat kesan cabaran ekonomi pada tahun 2022.

Sebagai contoh, kadar dividen yang diumumkan oleh KWSP untuk tahun 2022 juga menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Shariah berbanding Simpanan Konvensional sebanyak 6.10 peratus dan 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2021.

Strategi pelaburan yang dilaksanakan oleh TH juga bersifat konservatif memandangkan situasi pasaran kewangan seperti saham yang bergolak disebabkan kenaikan agresif (kadar faedah) oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun lepas.

Pendekatan ini merupakan langkah selamat untuk mengelakkan TH mengalami kerugian yang tinggi seterusnya mendedahkan risiko modal untuk hilang.

Selain itu, umum juga mengetahui peningkatan kos menunaikan haji oleh Arab Saudi pada tahun 2022 ekoran pandemik Covid-19 serta kenaikan cukai dan pelbagai caj perkhidmatan.

Pada tahun 2022 kadar kos sebenar haji adalah RM28,632 bagi setiap jemaah, namun sebanyak RM10,980 dikenakan bagi golongan B40, dan RM12,980 bagi golongan bukan B40. Ini bermaksud, kos sebenar yang ditanggung oleh B40 hanya 38 peratus, dan bukan B40 membayar 45 peratus.

Subsidi yang ditanggung oleh TH bagi musim haji pada tahun lepas adalah melalui keuntungan atau pulangan daripada pelaburan dibuat TH melalui pegangan saham, perladangan dan perniagaan-perniagaan lain.

Perbelanjaan TH sehingga Jun 2022 juga meningkat sebanyak RM134.42 juta kepada RM437.30 juta memandangkan Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh TH.

Meskipun TH mempunyai pelbagai saham pegangan secara langsung namun masih ada beberapa sektor yang mengalami impak teruk daripada Covid-19.

Sebagai contoh, sektor hartanah dan sektor pelancongan masih dalam proses pemulihan dan akan memerlukan masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada setiap suku tahun lepas dilihat agak memberangsangkan, TH lebih terkesan dengan prestasi di Bursa Malaysia.

Dalam sektor pelaburan hartanah, TH dijangka mengalami kerugian ratusan juta ringgit berikutan keputusan Telekom Malaysia untuk tidak membeli semula bangunan termasuk ibu pejabatnya apabila sukuk Menara ABS matang.

Telekom Malaysia turut menamatkan sebahagian besar sewaan bangunan di ibu pejabatnya di Bangsar, di ibu negara. Kerugian ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan pulangan pendeposit bertambah rendah.

Jumlah deposit yang meningkat setiap tahun juga secara tidak langsung memerlukan komitmen hibah yang tinggi. Untuk setiap satu peratus dividen, memerlukan peruntukan lebih kurang RM790 juta.

Oleh itu, ramalan kebanyakan pakar ekonomi yang menjangkakan kadar hibah sekitar 2.0 peratus hingga 2.5 peratus dilihat wajar dengan tumpuan kepada prestasi ekonomi global serta pemulihan TH yang masih berterusan.

Zaman kegemilangan kadar hibah yang tinggi dilihat sudah berlalu namun pahit yang harus ditelan ini tidak harus dilihat sebagai satu perkara yang negatif.

Insya-ALLAH, jika ekonomi dunia kembali pulih, pengurusan TH semakin mantap maka akan ada peluang untuk meraih hibah yang tinggi pada masa hadapan. Majoriti

Hassan A. Noor merupakan pembaca Majoriti.

*Ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram