[VIDEO] Padah tunjuk samseng atas jalan di Pulau Pinang, pemandu kereta merah himpit lori ditahan polis


  • 112
  • Ahad, 09 Apr 2023

Tangkap layar video tular kejadian pergaduhan membabitkan pemandu kereta merah dan pemandu lori yang berlaku di Jalan Permatang Janggus pada Sabtu.

POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai bertindak seperti samseng jalanan dengan merosakkan nombor plat sebuah lori dalam kejadian Jalan Permatang Janggus menghala ke Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, rakaman video kejadian membabitkan lelaki yang memandu sebuah kereta Proton Saga berwarna merah itu turut tular sejak Sabtu sebelum pihak polis menjalankan siasatan dan menahan suspek berusia 30-an tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal yang dilakukan mendapati kejadian pergaduhan itu membabitkan pemandu kereta dan pemandu lori tersebut dipercayai berlaku di Jalan Permatang Janggus menghala ke Permatang Pauh semalam namun masa kejadian tidak dapat dipastikan.

"Dalam video tular berdurasi dua minit 50 saat itu, sebuah kereta dan lori masing-masing berhimpit-himpit di antara satu sama lain dan akhirnya kedua-dua pemandu berkenaan berhenti sebelum berlaku pergaduhan.

"Pemandu kereta dilihat mengeluarkan satu objek dari bahagian belakang keretanya sebelum merosakkan nombor plat hadapan lori berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, pemandu kereta itu yang merupakan warga tempatan kini direman dan kes tersebut disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, dalam satu kenyataan pada Ahad, memaklumkan pihaknya menyita sebanyak 18 buah motosikal geng mat rempit mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengeluarkan 131 saman kerana pelbagai kesalahan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di daerah itu, awal pagi tadi (Ahad).

Menurut kenyataan itu, operasi dijalankan di sekitar kawasan tumpuan mat rempit sering melakukan aksi berbahaya atau berlumba haram seperti di Lebuh Raya Tun Dr Lim Choong Eu, Jalan Sultan Azlan Shah dan Persiaran Bayan Indah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram