Misi jalan kaki dari Johor ke Istana Negara terlaksana, harap rakyat Malaysia dapat keluar 'one off' KWSP


  • Massa
  • Isnin, 03 Apr 2023

Noorazlan (kiri) ketika berada di depan pintu Istana Negara dengan ditemani Wan Saiful (kanan) pada Isnin.

MISI 'gila' pemandu teksi, Noorazlan Ismail, 49, berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor hingga Istana Negara, Kuala Lumpur terlaksana apabila dia berjaya tiba selepas mengharungi perjalanan sejauh 312 kilometer selama kira-kira enam hari.

Bapa kepada lima orang anak itu membawa misi agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara one-off untuk golongan yang terkesan sepertinya.

Norazlan tiba di Pintu Istana Negara pada pukul 11.03 pagi Isnin ditemani oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan dengan menaiki sebuah kenderaan.

Menurut Noorazlan yang kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19, dia sebenarnya tiba di Kuala Lumpur pada Ahad dengan berjalan kaki seorang diri bagi membawa misi pengeluaran KWSP itu.

"Saya tiba di Kuala Lumpur pada 2 April selepas berjalan kaki selama selama enam hari," katanya kepada pemberita di luar pekarangan Istana Negara pada Isnin.

Noorazlan yang kemas berpakaian kemeja serta kot dan bersongkok berkata, dia antara lain menuntut pengeluaran KWSP kerana mahu menyelamatkan rumah tangganya selepas berpisah dengan isteri Ogos tahun lalu gara-gara masalah kewangan.

"Saya tak sangka banyak halangan saya kena tempuh, berkat doa sahabat-sahabat saya akan sampai ke Istana Negara hari ini (Isnin)," katanya.

Apabila ditanya mengenai kesihatan dia sepanjang perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, Noorazlan berkata, selain kaki yang melecet, dia bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik untuk mengharungi misi mencabar itu.

"Alhamdulillah saya sihat, cuma kaki sedikit melecet. Perjalanan saya juga dipermudahkan dan ramai yang ingin membantu sepanjang enam hari tersebut," katanya.

Menurut Noorazlan lagi, dia sangat gembira dapat meneruskan misi ke istana walaupun tidak dapat berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Misi saya hari ini (Isnin) untuk membawa suara rakyat yang mahukan pengeluaran KWSP secara bersasar bagi membantu kelangsungan hidup pada ketika ini tercapai.

"Saya tidak menyangka dapat memasuki Istana Negara untuk menyerahkan memorandum dan saya harap percubaan kali ini akan membawa berita gembira pada rakyat Malaysia," katanya.

Noorazlan turut memberitahu menerima 'duit raya' daripada Agong meskipun tidak dapat bertemu baginda.

“Baginda tahu saya ada di sini,” katanya sambil menunjukkan sampul kuning kepada pemberita.

Pada 29 Mac lalu, Norazlan mencuri tumpuan negara apabila nekad melaksanakan misi berjalan kaki sejauh 312 kilometer dari Tol Skudai, Johor menuju ke Istana Negara.

Usaha itu dilakukannya, bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kepayahan rakyat disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia kehilangan pekerjaan sebagai pemandu kepada individu bergelar Datuk di Johor Bahru, akibat penularan wabak Covid-19.

Lebih malang, berikutan hilang punca pendapatan, dia turut mengalami masalah rumah tangga yang menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan isteri kerana faktor kewangan.

Terdahulu, tindakan Noorazlan itu turut tular di laman sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen yang rata-rata memberi kata-kata semangat kepadanya.

Sepanjang perjalanannya, Noorazlan tidak berputus asa untuk terus berjalan kaki meskipun kakinya melecet akibat berjalan terlalu lama.

Malah ada beberapa kawasan, dia terpaksa berjalan kaki dalam keadaan cuaca hujan semata-mata untuk menyampaikan hasratnya itu kepada kerajaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram