[VIDEO] Salah faham harga promosi baju Melayu RM1 punca kecoh di butik Shah Alam


  • 112
  • Ahad, 02 Apr 2023

Tangkap layar orang ramai menyerbu sebuah butik pakaian di di Seksyen 7, Shah Alam sehingga menimbulkan kekecohan.

KEKECOHAN berlaku di salah sebuah butik pakaian yang bertempat di Seksyen 7, Shah Alam, Selangor berpunca daripada salah faham orang awam mengenai promosi jualan baju Melayu yang murah.

Menerusi satu video tular di media sosial sejak Sabtu, orang ramai yang beratur panjang dilihat diminta bersurai apabila keadaan menjadi tidak terkawal di butik tersebut.

Difahamkan, butik itu dibanjiri orang ramai selepas menawarkan promosi harga tidak masuk akal iaitu baju Melayu bernilai RM1.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihak polis menerima aduan kira-kira pukul 10.30 pagi Sabtu yang mana berlaku kekecohan semasa permulaan operasi di kedai pakaian berkenaan.

"Butik tersebut membuat promosi yang mana 100 orang pertama dapat membeli pakaian dengan harga RM1, manakala 50 orang berikutnya akan mendapat baju kurta percuma.

"Dianggarkan seramai lebih 500 orang membanjiri kedai berkenaan untuk mendapatkan harga promosi tersebut, sehingga berlaku tolak menolak dan kekecohan di antara mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sehubungan itu, kata Mohd. Iqbal, pihak pengurusan kedai bersetuju menghentikan operasi kedai atas faktor keselamatan kerana tidak dapat mengawal bilangan pengunjung yang hadir.

Menurut Mohd. Iqbal lagi, tiada sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak bersabit kejadian itu dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sekakat ini.

Dia turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlalu mudah terpengaruh dengan mana-mana promosi yang dibuat pada musim perayaan ini.

"Pihak peniaga hendaklah sentiasa peka dan elakkan membuat promosi yang boleh mengelirukan orang ramai bagi mengelakkan kejadian seperti tidak berulang lagi," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram