BERCERITAKAN tentang perihal rumah tangga kepada umum bukan satu hal mudah. Namun Ali (bukan nama sebenar) mengharapkan apa yang berlaku keatasnya dapat dijadikan pengajaran.
Kata Ali, dia berjaya mencapai beberapa matlamat hidup pada usia muda. Memiliki kerjaya yang bagus dan seterusnya berkahwin serta memiliki dua orang anak.
Sebagai ketua keluarga, Ali menyediakan sebuah rumah dan dua kenderaan yang masing-masing digunakan dirinya dan isteri.
Di awal perkahwinan, rumah tangga mereka berjalan dengan baik kerana Ali mampu memenuhi segala permintaan isterinya termasuk membelikan beg tangan mewah dan barang kemas pada ulang tahun perkahwinan dan hari lahir.
“Keluarga saya bertahan dengan satu sumber pendapatan selama bertahun-tahun. Tetapi, masalah kewangan saya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya memberi tekanan kepada perkahwinan kami,” kata Ali.
Selepas 16 tahun hidup bersama, pasangan itu memutuskan untuk berpisah pada tahun lalu.
Kanak-kanak cenderung mengalami tekanan perasaan dan mental kerana menyalahkan diri sendiri akibat kedua orang tuanya bercerai.
Ahli Sosiologi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Intan Hashimah Mohd Hashim, berkata, kegagalan mengurus isu kewangan dan konflik antara pasangan adalah antara faktor yang menyumbang kepada penceraian dan hal ini menunjukkan perlunya tumpuan diberikan kepada kesejahteraan pasangan.
“Harus ada persamaan dalam perkahwinan apabila suami dan isteri bersama-sama menggalas tanggungjawab menjaga keluarga. Toleransi dan memaafkan juga penting, terutama semasa konflik,” ujarnya.
Intan Hashimah turut menjelaskan, antara sebab lain yang mendorong kepada penceraian pasangan ialah keganasan rumah tangga, kurang keintiman, hubungan luar nikah, penyalahgunaan dadah dan ketagihan atau kurang komitmen.
Sementara itu, Pakar Psikologi Sosial USM Dr Suzanna Bono berkata, pandemik Covid-19 juga boleh menjadi punca hal itu berlaku.
“Menurut teori masalah keluarga, ketegangan rumah tangga boleh disebabkan oleh punca kewangan dan perubahan dalam dinamik sosial serta keluarga (seperti perpisahan fizikal akibat sekatan), yang mungkin membawa kepada hubungan yang tidak berkualiti, mengakibatkan perpisahan.
“Masalah kewangan disebabkan kemiskinan, pengangguran, inflasi dan kemelesetan ekomoni boleh menyebabkan pasangan merasa terbeban dan tertekan,” ujarnya.
Anak-anak menderita
Bukan sahaja pasangan, malah anak-anak juga turut terkesan dengan kegagalan hubungan ibu bapa.
Begitu juga Caroline yang berumur enam tahun dan kini tinggal bersama datuk dan neneknya selepas kedua orang tua berpisah dua tahun lalu.
“Tiada sesiapa yang akan membaca cerita kepada saya sebelum tidur sekarang. Papa (panggilan ayahnya) saya pernah buat begitu. Saya merindui hari-hari apabila mama (nama panggilan ibunya) akan memujuk setiap kali selepas dimarahi papa.
“Kadang-kadang, saya berasa agak sunyi dan mahu menangis,” terang Caroline.
Dalam pada itu, Suzanna mengatakan situasi penceraian mampu menjejaskan emosi dan fizikal anak-anak.
“Mereka mungkin berasa ditinggalkan dan bersalah kerana ada yang menyalahkan diri sendiri atas penceraian ibu bapa mereka.
“Ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan berlaku masalah sosial dalam kalangan remaja seperti merokok, mengambil dadah dan ponteng sekolah,” katanya.
Disebabkan itu, dia menasihatkan agar pasangan perlu wujudkan keseimbangan hubungan yang berdaya tahan dan boleh bersabar dalam situasi kehidupan mencabar.
“Dengan mengajar pasangan atau ahli keluarga mekanisma menangani tekanan yang berpotensi, daya tahan mereka boleh ditingkatkan.
“Ini boleh dicapai dengan membangunkan minda positif dan menemui kepentingan dalam cabaran yang dihadapi. Mereka menjadi lebih berhubung secara sosial, yang membantu pasangan atau keluarga berasa kuat, selamat dan bersatu padu, dan bekerjasama dalam krisis,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram