Demi pupuk cintai al-Quran, Ustaz Azraie pasang 5 pembesar suara dalam rumah 


  • Mukmin
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Ustaz Azraie sentiasa menjadikan amalan menbaca al-Quran sebagai satu kebiasaan di rumah bersama anak-anak.

MELENTUR buluh biarlah daripada rebungnya. Begitulah kata yang sesuai untuk digambarkan terhadap usaha Ustaz Azraie Abdul Hak dan isteri, Ustazah Sarrul Munirah Haris.

Azraie yang juga Johan Tilawah Antarabangsa Kuwait 2018 boleh dijadikan contoh apabila berjaya mendidik enam daripada tujuh anaknya mahir dalam taranum al-Quran.

Bahkan, dua anaknya, Ahmad Azfar dan Arifah juga sering menyertai pertandingan qari dan qariah sehingga berjaya menjulang trofi kemenangan.

Sebagai bapa, tentu sahaja hal itu membuatkan hatinya berbunga lebih-lebih lagi apabila ada yang mengikut jejak langkah.

Namun tidak semua hal yang indah itu dilihat manis di mata orang. Meskipun dihujani dengan taburan pujian, siapa sangka ada daripada salah satunya menyimpan racun durjana.

azfar-1

Anak Azraie, Ahmad Azfar turut mengikut jejak langkahnya menyertai pertandingan tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.

“Itulah yang dipanggil sebagai penyakit ‘ain iaitu pandangan mata jahat. Dia memuji, tetapi boleh mendatangkan kemudaratan kepada kita.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk memberi suntikan semangat kepada orang ramai untuk membaca al-Quran. Usaha kami sekeluarga adalah untuk mengajak mereka mencintai dengan membaca al-Quran,” katanya kepada Majoriti.

Reaksi itu diberikan olehnya bagi mengulas tentang tular beberapa video memaparkan Azraie sekeluarga mengalunkan bacaan al-Quran sehingga mendapat perhatian ramai.

Maklum sahaja, sifat manusia kadangkala tidak sama dengan apa diucap dan terbuku dalam hati. Jadi, tentu sahaja sukar untuk menilai yang mana satu permata dan kaca.

Meski begitu, Azraie menyerahkan sebulat-bulatnya kepada SANG PENCIPTA. Niatnya dan isteri yang juga bergelar Qariah Terbaik Melaka 2021, adalah untuk mengimarahkan al-Quran dalam kalangan masyarakat.

1672816

Azraie bersama sebahagian daripada ahli keluarganya.

7 peringkat taranum

Sementara itu, mengulas mengenai kemahiran taranum, Azraie memberitahu terdapat tujuh peringkat taranum yang popular di nusantara.

Beberapa jenis taranum itu antaranya Rast, Sikah, Jiharkah, Soba, Baiyati, Hijaz dan Nahwand.

Kata Azraie, sebaiknya individu yang ingin mempelajari taranum perlu berguru bagi menambah pengalaman.

“Berlatih taranum dengan membaca surah-surah pendek terlebih dahulu dan sebolehnya pergi belajar dengan guru mengaji atau mereka yang mahir.

“Tidak salah meniru atau mengikut teknik bacaan yang ada di YouTube, cuma ada baiknya pergi berguru. Mereka yang berminat boleh mencuba dengan asas taranum dahulu dan cuba mahirkan diri menguasai satu per satu taranum.

“Jadi apabila semua teknik taranum itu sudah mahir, bagilah ayat apa pun, insya-ALLAH pasti boleh dibaca dan tidak mendapat tentangan,” kongsinya.

Selain bercerita tentang cara menguasai kemahiran taranum, Azraie juga memberitahu tentang bagaimana untuk melembutkan hati anak dalam mendidik mereka mencintai al-Quran.

FCZ7cvpUUAIQqVr

Azraie muncul juara Tilawah al- Quran peringkat antarabangsa ke-9 di Kuwait 2018.

Sebagai bapa, sabar dan doa antara kunci dalam mendidik anak. Di samping itu, asuhan dan pendedahan terhadap bacaan al-Quran perlu dilakukan pada usia yang masih kecil.

Terang Azraie, pendidikan di rumah secara tidak langsung dapat membentuk akhlak, keperibadian dan sikap selain di sekolah, taska mahupun tadika.

“Perkara pertama yang saya lakukan ialah membudayakan agar menjadi minat. Di rumah saya ada meletakkan lima pembesar suara. Ada di dapur, ruang tamu, ruang solat, bilik tingkat atas dan bawah.

“Saya akan memperdengarkan kepada mereka baca al-Quran, qasidah dan nasyid setiap hari. Biarpun mereka melakukan hal lain, tetapi telinga mereka mendengar dan perlahan-lahan perkara itu sampai ke hatinya,” ujarnya.

Tambahan, Azraie juga tidak menggalakkan ibu bapa terlalu berkeras dengan anak-anak atau mendesak mereka. Sebagai contoh, ketika mereka sedang asyik bermain atau melakukan sesuatu, ibu bapa menggesa agar segera berhenti.

Hal itu tentu sahaja membuatkan anak-anak berasa memberontak dan tidak ikhlas melakukan apa yang disuruh.

“Kalau kita paksa mereka berhenti, nanti mereka akan marah dan itu yang membuatkan anak-anak tidak seronok untuk membaca al-Quran. Guna nada yang lembut dan beri masa, sebagai contoh lagi 10 minit berhenti main permainan video, kita nak mengaji.

majoriti2023 (10)

Azraie dan keluarga kerap dijemput hadir ke program berbentuk kerohanian terutama tentang bacaan al-Quran.

“Jadi dalam tempoh itu mereka akan bersedia dan terbuka hati untuk membaca al-Quran. Cuba pujuk mereka dengan mengajak ke kedai makan atau makanan yang disukai. Dekatkan al-Quran dengan anak ialah sentiasa mengajak mereka untuk membaca al-Quran.

“Tidak perlu ada waktu tertentu seperti malam, atau selepas solat Isyak contohnya, baru hendak membaca. Kalau boleh setiap masa senggang itu, luangkan masa membaca al-Quran. Jadikan amalan supaya anak-anak tidak berasa janggal atau menganggap al-Quran ini ada waktu-waktu tertentu sahaja yang boleh membacanya,” terangnya panjang lebar.

Untuk rekod bapa Azraie, Datuk Abdul Hak Abdullah merupakan johan empat kali tilawah al-Quran peringkat antarabangsa.

Ahmad Azfar juga pernah dinobatkan sebagai johan Tilawah al-Quran Mazamir Dawud Peringkat Antarabangsa 2022 di Algeria bagi kategori bawah 15 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram