POSISI Sabah FC yang selesa berada dalam senarai tiga pasukan tertinggi carta Liga Super sedikit goyah setelah berdepan dengan dua kekalahan berturut-turut.
Tewas dua kali dalam pertembungan dengan pihak lawan iaitu 0-4 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum Kuala Lumpur City FC (0-2) boleh dikatakan sebagai satu tamparan hebat buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (DOKS).
Masakan tidak, kekalahan berganda di tempat lawan sudah cukup untuk 'merobek' hati penyokong yang rata-rata kecewa dengan persembahan ditampilkan oleh pemain Sabah.
Malah, ada penyokong yang meminta agar DOKS direhatkan buat sementara waktu dan digantikan dengan jurulatih lain.
"Rehatkan DOKS, lantik Jelius Ating pengendali sementara Sabah FC," kata Jusrin BT di Facebook.
Pandangan itu turut mendapat sokongan daripada beberapa penyokong lain.
"Bila team asyik kalah, maknanya orang mudah tahu taktik permainan," kata Abang Rahim Malek.
Penyokong meletakkan kekalahan Sabah berturut-turut pada bahu Kim Swee (tengah) selaku jurulatih.
"Asyik kalah, mungkin dah boleh fikir cara lain agaknya. Jelius Ating pun sekarang sudah pro," kata whatstosay.
"Kenapa Sabah tidak pernah menang lawan JDT. Mungkin kena ambil Messi dan bayar AS$500 juta (RM2.2 bilion) sebulan jadi jurulatih," kata Mirdat Mohammed.
Bukan sahaja hangat diperkatakan di media sosial, bahkan laungan 'DOKS out' turut mencuri perhatian penyokong terutama ketika Sabah menentang Kuala Lumpur City di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.
Sementara itu, Jelius Ating juga bukan nama asing buat penyokong kerana dia terlebih dahulu mengendalikan skuad Sabah sebelum ini.
Nama Jelius Ating (kanan) menjadi sebutan penyokong yang dikatakan sesuai untuk menghantikan Kim Swee.
Jelius menjadi jurulatih tempatan pertama di Sabah memiliki lesen Pro A yang membolehkan dia mengendalikan pasukan Liga Super.
Hal tersebut mendapat pengesahan daripada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Jelani Hamdan sekali gus menjadi salah satu usaha meningkatkan kualiti sukan bola sepak Sabah.
Pada masa sama, Jelius juga pernah membantu Sabah untuk menjulang trofi Liga Perdana pada 2019.
Tentu sahaja kelebihan yang ada pada Jelius itu membuatkan pengurusan Sabah perlu fikir dua kali untuk mengatur strategi seterus agar dapat mengembalikan kedudukan skuad Sang Badak di tangga teratas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram