SELAIN lagu malar segar, sambutan Aidilfitri turut meriah dengan kehadiran filem yang sesuai untuk tontonan sekeluarga. Bukan sahaja bersifat komedi, malah naskhah tersebut memberikan pengajaran kepada penonton.
Bukan itu sahaja, filem tersebut turut mengimbau semula kenangan dan detik indah saat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan serta menyambut Syawal.
Justeri, Majoriti senaraikan lima filem tempatan yang memaparkan tentang ragam penduduk kampung menjalani ibadah puasa dan keterujaan masyarakat untuk menyambut Syawal:
Raya Tak Jadi, 2011
Filem arahan Prof Madya Datuk A. Razak Mohaideen yang diterbitkan pada 2011 itu dibintangi oleh Saiful Apek, Johan, Datuk Jalaluddin Hassan, Wan Sharmila dan Iedil Putra.
Mengetengahkan elemen komedi, filem tersebut mengisahkan seorang ahli perniagaan yang mengalami kerugian akibat kontena kurma yang dipesan gagal tiba mengikut waktu.
Disebabkan kurma-kurma itu gagal tiba sehingga Syawal, ahli perniagaan bernama Leo merancang menculik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Haji Ehsan.
Bagaimanapun, satu insiden lucu sehingga menemukan Haji Ehsan dengan Shuib, Bob dan Faridah.
Kemudian, Haji Hassan meminta bantuan Bob dan Shuib untuk memecah masuk ke dalam rumahnya sendiri untuk merompak. Haji Hassan meminta mereka berbuat demikian kerana tertekan dengan isterinya yang sering tidak membenarkan dia menderma dan membantu orang susah.
Pelbagai insiden lucu yang ditonjolkan dalam filem yang menelan belanja sebanyak RM1.06 juta itu.
I Know What You Did Last Raya, 2004
Filem komedi ini menceritakan tentang lima sahabat yang sudah berkawan sejak kecil ingin pulang berhari raya di kampung.
Sehari sebelum Syawal, kesemua sepakat untuk berbuka puasa bersama sebelum berangkat pulang ke kampung.
Sewaktu dalam perjalanan, kereta yang dipandu Roslan hilang kawalan dan melanggar seekor kambing.
Disebabkan rasa takut, Dr Mira, Shahida, Yassir, Fazzly termasuk Roslan meninggalkan ‘kambing’ tersebut di tepi jalan setelah mendapati bukan sahaja haiwan, malah Roslan juga sudah melanggar seorang lelaki.
Mereka bergegas meninggal lokasi dan berjanji untuk tidak memberitahu kepada sesiapa tentang kejadian itu.
Bagaimanapun terdapat pelbagai peristiwa aneh menimpa mereka dan sehingga menyebabkan empat daripada diculik.
Filem arahan Prof Madya Datuk A. Razak Mohaideen pada 2004 itu dibintangi oleh Erra Fazira, Mazlan Senario, Azlee Jaafar Senario, Waheeda, Zamarul Hisham, Eddy Yus dan Khatijah Tan.
Lagi-Lagi Senario, 2001
Senario merupakan satu nama besar dalam industri hiburan tanah air. Kumpulan yang terkenal dengan lelucon dan jenaka mencuit hati itu kerap muncul dengan filem yang menggunakan nama kumpulan mereka sebagai tajuk.
Salah satunya Lagi-Lagi Senario yang diarahkan oleh Aziz M. Osman pada 2001. Filem bermula apabila Wahid yang bekerja di sebuah restoran mewah dibuang kerja. Dia kemudian bertemu dengan Saiful dan Yassin di Warung Azlee.
Setelah beberapa lama, muncul pula sebuah warung baharu yang ingin dibuka bersebelahan dengan Warung Azlee. Perkara itu kemudian mencetuskan ‘peperangan’ antara Azlee dan Mazlan.
Disebabkan masing-masing terlibat dalam perniagaan roti canai, kedua-dua berusaha untuk mencuri pelanggan dan saling bergaduh antara satu sama lain.
Pelbagai cara yang dilakukan sehinggalah memanggil bomoh untuk ‘memagar’ kedai, menjual makanan kepada orang tidak berpuasa dan resipi roti canai terbang dilakukan semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan.
Selain kumpulan Senario iaitu Azlee Jaafar, Wahid Mohd, Lan Pet Pet, Saiful Apek dan Yassin Yahya, filem ini turut dibintangi oleh Wardina Safiyyah, Ani Maiyuni, Accapan serta Robert Kong.
18 Puasa, 2021
Filem berkaitan Ramadan ini disiarkan secara eksklusif di saluran Astro First. Filem arahan dan skrip Allahyarham Mamat Khalid itu menceritakan tentang gelagat penduduk Kampung Pisang yang tidak berpuasa.
Segalanya bermula apabila Barkoba yang seronok menikmati hidangan nasi bungkus pada siang hari waktu bulan bulan puasa. Dia yang pergi ke kawasan kebun pura-pura untuk membersihkan semak samun.
Sedang dia asyik makan, tanpa sedar sebiji buah durian jatuh menghempap sehingga mengakibatkan dia meninggal dunia. Kemudian, muncul iblis yang memaparkan semula kejahatan yang pernah dilakukan Barkoba sebelum ini.
Kesal atas segala kesilapan, Barkoba berusaha untuk berubah, namun perkara sebaliknya pula berlaku ke atas Barkoba.
Filem ini dilakonkan oleh Bell Ngasri, Kazar Saisi, Mat London, Aziz M. Osman, Dewa Sapri, Siti Elizad, Namron, Jaafar Onn, Joey Daud dan Man Raja Lawak. Turut serta, sebagai penampilan istimewa iaitu Datuk Ustaz Kazim Elias dan Abdul Rani Kulup Abdullah.
Syif Malam Raya, 2020
Tidak dinafikan, pengarah Prof Madya Datuk A. Razak Mohaideen banyak menghasilkan filem untuk tontonan penonton sempena Ramadan dan Syawal.
Begitu juga dengan filem Syif Malam Raya yang dibintangi oleh Atu Zero, Sharif Zero, Syaiful Zero, Reen Rahim, Yoe Parey, Syahmi Sazli, Asif Suhaimi, Ropie, Nadia Brian, Saiful Apek dan Lia Natalia.
Ditayangkan di saluran Astro First, Syif Malam Raya menceritakan tentang empat sahabat yang berdepan dengan kejadian aneh ketika ingin pulang ke kampung berhari raya.
Bekerja sebagai pemandu van jenazah, Zaid dan Hisyam menumpangkan Mera dan adiknya Yoh untuk bersama-sama balik kampung. Namun, ketika mereka dalam perjalanan menghantar mayat ke Ipoh, keadaan menjadi kecoh apabila mereka bertemu dengan hantu pocong di Kampung Batu Berapit.
Filem komedi ini turut diselitkan dengan beberapa unsur seram bagi memicu adrenalin penonton sambil bergelak ketawa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram