Misteri kenderaan terasa 'berat' terungkai, pemandu terkejut jumpa mayat bawah kereta di Tenom


  • 112
  • Selasa, 28 Mac 2023

Mayat mangsa dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.— Facebook

RASA pelik seorang pemandu terhadap kereta yang terasa berat akhirnya terjawab selepas dia menemui mayat seorang lelaki di bawah kenderaannya dalam satu kejadian di Tenom, Sabah pada Selasa.

Dalam kejadian pukul 12.20 pagi Selasa, pemandu berusia 40 tahun itu memandu di kawasan gelap di kilometer 9, Jalan Sapong – Kemabong.

Selepas itu, pemandu berkenaan berhenti dan keluar dari kereta untuk memeriksa sebelum mendapati seorang lelaki terperosok di bawah kenderaannya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, mangsa yang berusia 55 tahun itu dipercayai tertidur di atas jalan apabila dilanggar kereta berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, pemandu tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Kemabong menuju ke Pekan Tenom.

“Keadaan jalan pada ketika itu juga agak gelap dan pemandu berasakan terlanggar sesuatu sehingga menyebabkan kenderaannya menjadi berat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hasan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan kemudian dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram