[VIDEO] Lelaki mabuk serang peniaga burger guna parang, antara 4 ditahan di Semenyih


  • 112
  • Ahad, 26 Mac 2023

Tangkap layar video tular kejadian rusuhan yang berlaku di hadapan sebuah restoran di Seksyen 5 Bandar Rinching, Semenyih, Kajang, Khamis lalu

SERAMAI empat orang individu lelaki yang terlibat dalam pergaduhan melibatkan senjata tajam di Seksyen 5, Bandar Rinching, Semenyih, Selangor ditahan polis pada Sabtu.

Melalui satu video tular yang dimuat naik di sosial media, pergaduhan berkenaan dipercayai berpunca dari salah seorang suspek yang mabuk dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Pada masa sama, suspek turut membaling tin arak ke arah sebuah gerai burger sehingga wujud perselisihan faham pemilik gerai tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada Khamis lalu di hadapan sebuah restoran.

"Polis menerima aduan berkaitan kejadian pada pukul 9.55 malam hari sama daripada orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Zaid, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada pukul 9.45 malam berpunca daripada seorang lelaki dalam keadaan mabuk menimbulkan kekecohan di sebuah gerai menjual burger di situ.

"Lelaki terbabit datang ke gerai itu sebelum mengeluarkan kata-kata kesat sambil membaling tin minuman keras ke arah gerai burger sebelum berlaku perselisihan faham antara dia dengan peniaga gerai terbabit.

“Kejadian menjadi lebih tegang apabila lelaki mabuk itu mengeluarkan pisau serta parang dan cuba menyerang peniaga gerai di situ," katanya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan berlaku rusuhan yang melibatkan campur tangan individu lain bagi meleraikan kejadian tersebut.

Bertindak atas maklumat, pihak polis mengambil tindakan segera dengan menahan empat lelaki tempatan tersebut yang berusia 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.

“Keempat-empat yang ditangkap dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.

“Dalam kejadian ini pihak polis merampas sebilah parang, satu pisau boleh laras dan satu topeng kain muka suspek yang ditangkap semasa kejadian,” ujarnya.

Menurut Zaid, tiada kecederaan serius dalam kejadian ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram