Dijemput ajal lepas dikejar curi telefon pintar dalam nahas babit 3 kenderaan di Batu Pahat


  • 112
  • Selasa, 28 Mac 2023

Kemalangan yang berlaku pada Isnin itu melibatkan kereta Proton Wira, Perodua Axia dan Mazda CX5. — Facebook

SEORANG lelaki yang disyaki mencuri sebuah telefon pintar maut, manakala tiga cedera dan seorang terselamat, dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Parit Jalil, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang Isnin itu, melibatkan kereta Proton Wira, Perodua Axia dan Mazda CX5.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Mazda, lelaki berusia 31 tahun mengekori belakang Wira, dipandu seorang lelaki 39 tahun bersama penumpang lelaki 43 tahun dari Taman Putera Indah, sebelum Mazda itu hilang kawalan dan terlanggar belakang Wira.

"Akibat pelanggaran itu, Wira pula hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan Axia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat pada Selasa.

Katanya, akibat kemalangan itu, penumpang Wira meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu hanya cedera ringan, sementara sepasang suami isteri yang menaiki Axia mengalami cedera parah manakala seorang lelaki yang menaiki Mazda tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ismail berkata, berdasarkan siasatan, motif pemandu Mazda mengekori Wira disebabkan penumpang Wira itu, dipercayai mengambil dan melarikan telefon pintar milik pemandu Mazda tanpa izin.

Menurutnya, kesemua mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kes berasingan, Ismail berkata seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun ditahan bersama dadah disyaki ganja seberat 63.12 kilogram bernilai RM156,000 yang dianggarkan boleh digunakan seramai 31,560 penagih dadah, dalam satu serbuan di Yong Peng, Ahad lepas.

Ismail berkata, modus operandi sindiket pengedaran yang mula aktif sejak awal bulan ini, dengan menjadikan rumah dan kereta sebagai stor penyimpanan dadah, sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Menurutnya lagi, lelaki itu direman tujuh hari bermula semalam hingga 1 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam satu lagi kes lain, dua lelaki tempatan berusia 26 dan 29 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun pusat snooker dan kedai telefon pintar sekitar Parit Sulong, Batu Pahat, Sabtu lepas.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram