Bapa korban nyawa selamatkan anak terperangkap dalam kereta di Putatan


  • 112
  • Isnin, 27 Mac 2023

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan dron semasa operasi SAR.

MAYAT seorang lelaki yang dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan anak lelakinya yang terjatuh bersama kereta miliknya di Sungai Kampung Imbahan, Putatan dekat Kota Kinabalu, Sabah ditemui pada Isnin.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5.30 petang Ahad itu,mangsa, Lasibi Lawahidu, 40, dipercayai terjun ke dalam sungai berkenaan selepas kereta jenis Perodua Myvi yang ketika itu dinaiki anaknya Mushab Umair Lasibi, 5, secara tiba-tiba bergerak dan terjunam ke dalam sungai.

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan dron semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, difahamkan sebelum kejadian, mangsa berada di tebing dan sedang memancing bersama anaknya menaiki kenderaan yang diletakkan berhampiran dengan enjin dihidupkan.

Bagaimanapun, katanya, kenderaan itu tiba-tiba bergerak sebelum terjatuh ke dalam sungai dan mangsa melompat menyelamatkan anaknya.

“Mangsa dikatakan sempat mengeluarkan anaknya dari kenderaan sebelum dibantu seorang lelaki yang kebetulan berada di situ memancing.

"Mangsa bagaimanapun tiba-tiba hilang, dipercayai tenggelam," katanya kepada media.

Tambahnya lagi, anak mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram