Lantai kotor, simpan alat tak teratur antara punca 10 kilang proses makanan di Sabah diarah tutup


  • Primer
  • Khamis, 23 Mac 2023

Jijik. Antara keadaan kotor di kilang pemprosesan makanan di Sabah.

SEPULUH kilang pemprosesan makanan di Sandakan, Sabah diarah menghentikan operasi serta-merta selama dua minggu berikutan gagal memastikan penjagaan aspek kebersihan.

Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar berkata, berikutan operasi pemeriksaan mengejut yang dijalankan bulan ini, kilang-kilang itu didapati melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Berdasarkan pemeriksaan kami, antara kesalahan yang dilakukan ialah pekerja tidak mempunyai sijil pengendalian makanan, pekerja tanpa kad kesihatan, lantai licin dan kotor, penyimpanan peralatan yang tidak betul dan sistem perparitan yang tidak baik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kilang-kilang yang terdiri daripada enam pusat penyembelihan ayam dan empat kilang pembuatan roti itu diarah tutup bagi operasi membersihkan premis mereka, sebelum mereka dibenarkan membuka semula perniagaan.

Semakan juga mendapati, bahan-bahan dibiarkan terdedah tanpa bekas yang betul dan sistem pelupusan sampah yang lemah.

Johari berkata, amalan tidak bersih seperti itu mendatangkan bahaya kesihatan kepada pelanggan.

"Pelangganlah yang akan menjadi mangsa akibat amalan sedemikian.

"Pihak kami akan terus menjalankan pemeriksaan dan operasi yang sama bagi memastikan kualiti dan keselamatan pembuatan dan pemprosesan makanan di daerah ini," katanya.

Selain itu, enam notis kompaun dikeluarkan ke atas kilang pemprosesan makanan terbabit.

Justeru, Johari menggesa pengusaha dan pekerja kilang supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan dan kebersihan makanan.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berkongsi maklumat mengenai sebarang kesalahan yang disyaki serupa dengan perkara itu kepada jabatan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram