Sindiket 'sedut' duit guna maklumat fail APK dibongkar, 7 termasuk warga asing ditahan di KL


  • 112
  • Rabu, 22 Mac 2023

Datuk Azmi Abu Kassim menerusi kenyataannya berkata, sekumpulan lelaki ditahan selepas memperdaya orang ramai melalui platform jual beli barang. — Bernama

TAKTIK sekumpulan tujuh lelaki yang menggunakan platform jual beli barang untuk memperdayakan orang ramai memuat turun Android Package Kit (APK) sebelum bertindak 'menyedut' duit mangsa terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di dua unit premis di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kesemua suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan empat warga asing, masing-masing berusia lingkungan 20 hingga 27 tahun ditahan oleh sepasukan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

"Fail APK yang dimuat turun itu membolehkan sindiket menggunakan kad debit mangsa kerana mangsa telah memasukkan maklumat perbankan mereka ketika proses memuat turun fail dijalankan.

"Akibatnya, kad debit mangsa digunakan melalui aplikasi pembayaran elektronik tanpa mangsa sedari dan siasatan awal mendapati sindiket ini telah beroperasi selama tiga bulan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam serbuan itu, katanya polis turut merampas 28 telefon bimbit dan lima unit komputer yang dipercayai digunakan dalam menjalankan kegiatan sindiket penipuan berkenaan.

Beliau berkata, kesemua ahli sindiket yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan ditawarkan gaji RM4,000 itu kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah terpedaya tawaran daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali selain sentiasa berwaspada dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang fail daripada sumber yang tidak sah.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada National Scam Response Center di talian 997 jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket penipuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Azmi, polis, penipuan, APK, sindiket,