Ops Maya bongkar kegiatan wanita jual peralatan seks bernilai lebih RM1 juta di Bukit Mertajam


  • 112
  • Rabu, 15 Mac 2023

Antara barangan jualan yang dirampas dalam operasi dikenali dengan Ops Maya.

PENGLIBATAN seorang wanita dalam kegiatan jualan mainan dewasa terbongkar selepas pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan merampas barangan bernilai lebih sejuta ringgit.

Selama berbulan-bulan, wanita berkenaan didapati memperoleh wang lumayan dengan menjual anak patung dan pelbagai peralatan seks lain kepada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda menjalani hubungan jarak jauh.

Pelanggannya sanggup membayar antara RM70 dan RM450 untuk mainan diimport dari China tersebut.

Aktiviti wanita berusia 29 tahun itu bagaimanapun terbongkar selepas pegawai Kementerian Dalam Negeri melakukan serbuan di gudang berkenaan pada 15 Februari lalu.

Sejumlah 22,929 unit alat permainan dewasa bernilai kira-kira RM1.1 juta ditemui dalam operasi di bawah nama Ops Maya.

Operasi pertama dijalankan di sebuah kediaman di Kota Warisan, Sepang, Selangor pada 19 Disember tahun lepas, dengan kementerian merampas lebih 1,000 barangan terlarang.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan kementerian, Nik Yusaimi Yussof berkata, wanita itu dikenakan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas kesalahan itu di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 2 Mac lalu.

WhatsApp Image 2023-03-15 at 2.53.43 PM

Nik Yusaimi menunjukkan antara barangan mainan dewasa dirampas dalam Ops Maya.

Beliau berkata siasatan awal mendedahkan bahawa alat permainan dewasa itu yang dibeli dari China, boleh dijual pada harga dua kali ganda lebih tinggi melalui platform dalam talian.

“Wanita itu menjual barangan tersebut sejak tahun lalu sebelum kami memberkasnya. Terdapat permintaan yang tinggi untuk barangan sedemikian.

“Kami membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana ‘menghakis nilai moral’,” katanya pada sidang media di pejabat bahagian itu di Wisma Pantai, Jalan Kampung Gajah, Butterworth, Pulau Pinang pada Selasa.

Ditanya sama ada kementerian menemui premis menjual produk larangan itu secara terbuka di Pulau Pinang, beliau menjelaskan masih tiada sebarang penemuan dilakukan, namun menambah pemeriksaan dijalankan dari semasa ke semasa.

Nik Yusaimi berkata, kementerian akan mengambil tindakan terhadap mereka terlibat dalam aktiviti boleh menghakis nilai moral atau menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam.

Beliau turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat mengenai kegiatan haram itu kepada kementerian melalui 03-8000 8000 atau menerusi www.moha. gov.my. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram