SEORANG lelaki maut ditikam manakala seorang lagi dilaporkan tercedera selepas ditangkap mencuri sebungkus udang di pasar ikan Harlem, New York pada bulan lalu.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup CCTV, mangsa yang dikenali sebagai Robert Bobby Burrell, 29, dan adiknya, Malik Burrell, 25, dilihat bergaduh dengan pekerja di sebuah kedai Fish Express Fish Market pada 21 Februari lepas.
Penjual ikan tersebut, Junior Aquino Hernandez kemudiannya bertindak menikam dua beradik itu dengan pisau berulang kali.
Susulan serangan itu, Malik Burrell maut di lokasi kejadian manakala adiknya pula dibawa ke hospital akibat kecederaan melampau.
Hernandez, 34, didakwa membunuh dalam kejadian itu namun Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg bertindak menggugurkan pertuduhan itu sementara menunggu siasatan lanjut dilakukan.
Mengaku tidak melakukan sebarang kesalahan, Hernandez yang merupakan bapa kepada empat anak itu mendakwa dia hanya bertindak mempertahankan diri dan dijangka akan kembali ke mahkamah pada 4 April.
Kejadian itu bermula sebaik Bobby Burrell masuk ke kedai tersebut untuk membeli udang sebagai hidangan hari lahir.
Namun, situasi berubah apabila pemuda berkenaan dilihat cuba melarikan diri dengan sebungkus plastik udang sebelum dia ditahan dua pekerja di premis tersebut.
Berjaya meloloskan diri, kedua-dua pencuri itu kemudiannya kembali ke kedai terbabit dan membaling kerusi ke arah pekerja berkenaan.
Tersentak dengan serangan itu, Hernandez kemudiannya menikam kedua-duanya dengan pisau dan sekali gus menjadi punca kematian salah seorang daripadanya.
Bapa kepada Robert Burrel menolak dakwaan anaknya seorang pencuri dalam kejadian terbabit.
"Saya tahu anak-anak saya tidak mencuri apa-apa, mereka ada wang dan ia situasi yang gila untuk mengatakan mereka cuba mencuri," katanya.
Namun, kes masih berlanjutan sehingga kini dan dakwaan itu akan ditentukan di mahkamah pada April nanti.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram