Penganjur diberi amaran, polis batal 'Thai Hot Guy' di KL


  • Massa
  • Rabu, 22 Mac 2023

Acara 'Thai Hot Guy' telah dibatalkan susulan pertemuan polis dan pihak penganjur.

ACARA 'Thai Hot Guy' telah dibatalkan susulan pertemuan antara polis dan pihak penganjur.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan penganjur dan pengurusan Kelab Privasi Tun Razak kira-kira pukul 2.30 petang Rabu.

“Kami memberi amaran keras kepada mereka untuk membatalkan acara tersebut.

“Pihak penganjur dan pengurusan telah bersetuju untuk berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Superintendan Ashari berkata, polis akan tetap memantau premis berkenaan dan tindakan tegas akan diambil jika ada undang-undang yang dilanggar.

“Promosi untuk acara itu mendapat reaksi negatif daripada orang ramai.

“Sehingga pukul 4 petang Rabu, sebanyak 60 laporan polis telah dibuat terhadap kejadian yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan boleh mengganggu orang ramai.

“Kami menggesa mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah untuk menghubungi polis Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, talian hotline polis KL di 03-2115 9999 atau di balai polis berhampiran.

Kementerian Dalam Negeri berkata, pihaknya akan meneliti acara 'Thai Hot Guy' yang akan diadakan pada bulan Ramadan.

Premis tersebut yang dijadual menganjurkan acara yang menampilkan lelaki Thai berpakaian mencolok mata sebagai sebahagian daripada acara pembukaannya pada 30 Mac, dikatakan tidak mempunyai lesen yang sah.

Poster acara berkenaan yang memaparkan gambar individu lelaki berpakaian dalam wanita kian tular di media sosial sejak Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram