Acara 'Thai Hot Guy' tiada permit, lesen restoran tamat tempoh


  • Massa
  • Rabu, 22 Mac 2023

Sebuah restoran bar mengadakan acara hiburan yang menampilkan lelaki berpakaian seksi di Kuala Lumpur.

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam proses semakan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peraturan dan syarat penganjur berhubung satu acara hiburan di sebuah premis di ibu negara.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Azman Abidin berkata, siasatan awal DBKL mendapati premis itu dilesenkan sebagai restoran kepada syarikat Beijing 9 Sdn Bhd, namun telah tamat tempoh pada 4 Februari 2021.

"Premis itu juga tidak mempunyai lesen hiburan dan juga tiada sebarang permohonan lesen hiburan atau permohonan untuk menjalankan aktiviti hiburan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau memaklumkan, Pejabat Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah menerima laporan berhubung acara hiburan yang bakal dianjurkan di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 30 Mac bermula 6 petang.

Katanya, setelah meneliti iklan di laman Facebook premis berkenaan, pihaknya mendapati acara hiburan berkenaan bakal menampilkan persembahan pelayan lelaki berbadan sasa berpakaian wanita dikenali sebagai 'Thai Hot Guy,' sebagai tarikan utamanya.

Dalam pada itu, memetik laporan The Star, Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, acara seperti itu tidak seharusnya diteruskan kerana ia boleh menimbulkan keresahan terutamanya dalam kalangan umat Islam yang akan menyambut Ramadan.

"Kita akan ketahui dari mana mereka mendapat kelulusan selain menghubungi pihak berkuasa tempatan mengenai perkara ini," katanya.

Pada Ahad lepas, premis yang dikenali sebagai Privacy Club menyiarkan poster pelancaran mereka di media sosial menampilkan model 'Thai Hot Guy' sebagai tetamu undangan penghias poster dan ia telah mengundang kemarahan rakyat Malaysia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram