Ramadan: 'Geng plastik hitam' diarak naik van jenazah, ini kata mufti 4 negeri


  • Massa
  • Rabu, 22 Mac 2023

Sebelum ini, pesalah yang dilaporkan tidak berpuasa pada bulan Ramadan dikenakan hukuman berarak menggunakan van jenazah. — Agensi

BULAN Ramadan yang bakal diraikan umat Islam di seluruh dunia pastinya tempoh yang paling afdal untuk melakukan ibadah wajib berpuasa serta amalan sunat lain.

Rukun Islam ketiga itu dilaksanakan bagi mendisiplinkan diri mengawal nafsu yang terpendam, supaya manusia sentiasa berada pada landasan yang betul dalam segala tindak-tanduk.

Ini termasuk menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

file7pedaamuv9drn9u02w0

Orang ramai membeli-belah di sekitar ibu negara sebelum menyambut bulan Ramadan.

Antara ciri-ciri individu yang wajib berpuasa adalah mempunyai akal yang waras, baligh, mampu dan tidak uzur.

Namun, tidak dinafikan terdapat segelintir individu yang sengaja tidak melaksanakan ibadah tersebut, atas alasan tidak munasabah.

Justeru, golongan tersebut kerap kali digelar sebagai 'geng plastik hitam'.

Screenshot 2023-03-22 160030

Tindakan berarak menggunakan van jenazah bagi individu tidak berpuasa pada bulan Ramadan dilihat mengaibkan. — Agensi

Lantaran itu, ada pihak yang dilapor mengambil tindakan terhadap golongan tersebut dengan membawa mereka berarak menggunakan kenderaan jenazah.

Berikut antara pendapat yang diutarakan oleh anggota penguat kuasa agama di beberapa negeri berhubung tindakan terhadap geng plastik hitam:

1) Kelantan

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, umat Islam di Kelantan yang ditangkap kerana tidak berpuasa pada bulan Ramadan bakal berdepan hukuman lebih berat mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), Dr Hasnan Ramli berkata, Seksyen 10 enakmen tersebut, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

51650876245_MuftiKelantanDatu

Mohamad Shukri

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hukuman orang tidak berpuasa bergantung kepada enakmen tersebut.

Manakala, katanya, pihak hakim yang akan memutuskan sebarang hukuman yang bakal dikenakan kepada pesalah.

file7keky1g91p018hekyhve

Umat Islam berbuka puasa pada hari pertama menyambut bulan Ramadan tahun lalu.

Namun, katanya, setiap individu yang melakukan kesalahan tidak boleh dijatuhkan hukuman sebelum dibicarakan.

"Kalau kita tangkap dan bawa seseorang yang tidak berpuasa menaiki van jenazah dan berarak dalam bandar, ia sepatutnya tidak dibolehkan.

"Ini kerana sesuatu kesalahan mesti dibuktikan dan selepas disabitkan kesalahan baru boleh dijatuhkan hukuman," katanya kepada Majoriti.

2) Pulau Pinang

Umat Islam di Pulau Pinang yang didapati sengaja makan atau minum di khalayak ramai tanpa sebarang halangan atau uzur syar'ie ketika Ramadan boleh dikenakan tindakan undang-undang iaitu denda atau penjara atau kedua-duanya sekali.

Menurut Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Hukuman sama dikenakan ke atas mana-mana individu yang menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu.

Penang mufti Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor

Wan Salim

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak yang membantu orang lain berbuka puasa sebelum tiba waktunya dianggap sebagai menolong perkara dosa.

"Ia sangat dilarang dalam Islam dan tidak boleh dipandang ringan.

"Pihak kerajaan boleh mengenakan hukum takdir, yang bermaksud menyerahkan kepada budi bicara pihak berkuasa setimpal dengan dosa yang dilakukan.

"Kita harap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah boleh beri pengajaran kepada pesalah tersebut," jelasnya.

Tambahnya, beliau bersetuju dengan tindakan melakukan perarakan ke atas pesalah tidak berpuasa menggunakan kenderaan jenazah.

3) Selangor

Bercakap mengenai hukuman dikenakan ke atas individu yang dibawa berarak di dalam kenderaan jenazah atas alasan tidak berpuasa pada bulan Ramadan, Datuk Dr Anhar Opir menyifatkan bahawa perkara tersebut kurang sesuai kerana mengaibkan.

Mufti Selangor itu berkata, terdapat cara lain boleh dilakukan bagi memberi pengajaran kepada pesalah agar tidak mengulangi perkara sama.

"Ini termasuk menggunakan kaedah pendidikan serta penguatkuasaan undang-undang," katanya.

file7nzh88nznvd1n5niplqx

Anhar Opir

Sementara itu, umat Islam di Selangor yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya dalam waktu puasa pada bulan Ramadan boleh berdepan dengan hukuman denda atau penjara.

Menurut Seksyen 19 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Hukuman sama dikenakan kepada individu didapati menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya, untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu puasa pada bulan Ramadan.

4) Pahang

Pada masa sama, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, undang-undang ketika ini jika dikuatkuasakan secara baik boleh membantu mengurangkan jumlah umat Islam yang enggan berpuasa pada bulan Ramadan.

Mufti Pahang itu berkata, hukuman yang sedia ada itu bukan dilaksanakan secara suka-suka atau memalukakn pesalah, sebaliknya ia merupakan satu pengajaran kepada umat Islam supaya menghormati bulan Ramadan.

Jelas Abdul Rahman, tindakan segelintir individu yang membungkus makanan untuk dibawa ke rumah ketika bulan Ramadan tiada sebarang masalah.

553 (1)

Abdul Rahman

Ini kerana katanya, adakalanya individu tersebut melakukan perkara tersebut untuk ahli keluarganya yang memerlukan termasuk menghidap sebarang penyakit.

"Kalau nak makan dekat rumah tu terpulang kepada dia. Dia yang berdosa dengan ALLAH SWT. Undang-undang menetapkan dia makan di tempat awam dan kedai makan adalah salah," katanya.

Ketika ditanya mengenai hukuman melakukan perarakan di dalam kenderaan jenazah ke atas individu yang tidak berpuasa, Abdul Rahman berkata, perkara itu perlu disemak semula dan tidak boleh dibuat sembarangan.

"Risau suatu hari nanti individu tersebut yang akan mengambil tindakan.

"Peraturan dibuat adalah berdasarkan undang-undang. Orang yang tiada kuasa menangkap pun tidak boleh mengambil tindakan," tambahnya.

file7pfuom7mb38ibwe8bbj

Orang ramai membeli buah kurma bagi menyambut bulan Ramadan.

Umat Islam di Pahang yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau apa-apa benda lain yang seumpamanya dalam waktu puasa pada bulan Ramadan boleh berdepan dengan hukuman denda atau penjara.

Menurut Seksyen 11 Enakmen Undang-Undang Jenayah Syariah Negeri Pahang 2013, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Hukuman sama dikenakan kepada individu didapati menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya, untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu puasa pada bulan Ramadan.

Pada April 2021, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dilaporkan tidak akan lagi menggunakan van jenazah untuk menangkap umat Islam yang ponteng puasa.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri Johor, Tosrin Jarvanti dilapor berkata, tindakan itu bagi menjaga aib dan air muka individu berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang ditangkap kerana tidak berpuasa.

Selain daripada itu, pihak JAINJ juga akan mengambil pendekatan dengan memberi khidmat nasihat kepada umat Islam yang ditahan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram