BERPUASA pada bulan Ramadan bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.
Selain daripada melatih rohani supaya menjadi lebih bersih, ia juga terbukti mendatangkan lebih banyak faedah daripada sudut kesihatan.
Bulan Ramadan juga merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur dalam diri sendiri.
Pada bulan Ramadan, umat Islam akan menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Maka, apabila tiba waktu memilih makanan untuk berbuka, kita sering kali akan membeli atau memasak sahaja semua makanan yang terlintas di kepala tanpa memikirkan nilai pemakanan dan kesannya kepada kesihatan.
Apatah lagi dengan kemeriahan pasar atau bazar Ramadan yang menyajikan pelbagai juadah kuih-muih, lauk-pauk dan minuman yang amat menyelerakan.
Sehubungan dengan itu, pemilihan makanan yang sesuai pada bulan Ramadan adalah penting bagi membolehkan kita menikmati makanan yang sedap dan berkhasiat, di samping memperoleh semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh. Ia juga membantu mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh berpuasa.
Mengamalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang ketika berbuka puasa.
1) Amalan sewaktu bersahur
Amalan bersahur amat penting untuk membantu menambahkan tenaga ketika seharian berpuasa. Waktu sesuai untuk bersahur adalah sekurang-kurangnya setengah jam sebelum waktu imsak dan digalakkan mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau biskut mil penuh dan oat.
2) Amalan sewaktu berbuka puasa
Semasa berbuka puasa, adalah digalakkan mengambil makanan yang ringkas terlebih dahulu untuk mengelakkan ketidak selesaan kepada sistem penghadaman.
Mulakan dahulu dengan buah kurma kerana ia mengandungi fruktosa yang boleh memberi tenaga segera. Selain itu, buah kurma juga mengandungi enzim yang boleh membantu proses penghadaman untuk makanan seterusnya.
Pelbagaikan pengambilan jenis makanan seperti bihun sup,nasi bersama ikan, ayam dan sayur-sayuran serta buah-buahan yang diambil berdasarkan Piramid Makanan Malaysia.
Pengambilan makanan yang pedas serta berempah pula tidak digalakkan semasa berbuka kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketidak selesaan kepada perut.
3) Amalan sewaktu moreh
Mengambil snek ringan seperti roti, biskut, sandwich atau kuih-muih juga dibenarkan selepas bersembahyang tarawih tetapi jangan berlebihan.
Elakkan mengambil juadah yang berat seperti nasi atau mi goreng kerana pada waktu malam kita tidak memerlukan tenaga yang banyak.
Berikut merupakan panduan pemilihan makanan untuk menjamin kita agar kekal sihat dan cergas:
1) Minimumkan penggunaan minyak
Kurangkan penggunaan lemak terutama lemak tepu seperti minyak sapi, mentega dan keju. Semasa menggoreng dan menumis, minimumkan penggunaan minyak supaya makanan lebih sihat di samping kita dapat berjimat-cermat.
2) Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran segar
Buah-buahan dan sayur-sayuran membekalkan vitamin, mineral dan serat. Kebanyakan buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku dan pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding dengan buah-buahan import seperti epal dan pir.
3) Lebihkan pengambilan air
Minum air sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari, ketika berbuka puasa, disarankan minum jus buah-buahan (tanpa gula) dan elakkan daripada meminum minuman bergula seperti minuman kordial serta minuman berkafein seperti kopi dan teh tidak digalakkan.
4) Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam (masin)
Pengambilan makanan yang masin boleh meningkatkan rasa dahaga semasa berpuasa. Oleh itu, kurangkan makanan masin seperti ikan masin, jeruk, belacan dan kicap.
Selain itu, pengambilan makanan yang tinggi kandungan garam juga boleh meningkatkan risiko kita untuk mendapat penyakit kronik seperti hipertensi.
5) Kurangkan pengambilan makanan/minuman yang tinggi kandungan gula (manis)
Mengurangkan penggunaan gula adalah baik untuk kesihatan kerana ia dapat mengelakkan pelbagai jenis masalah kesihatan seperti kegemukan yang merupakan faktor risiko kepada penyakit kronik seperti diabetes.
Bulan Ramadan juga memberikan peluang untuk menurunkan berat badan dengan mengamalkan pengambilan makanan yang sederhana dan seimbang serta mengurangkan makanan yang tinggi lemak dan gula.
Semoga bulan Ramadan akan membentuk kita menjadi individu yang bijak memilih makanan yang sihat dan berkhasiat di samping menjalani ibadah puasa yang lebih berkualiti dan sempurna. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,