MASYA-ALLAH, pejam celik akhirnya tiba juga dengan bulan Ramadan yang mulia dan penuh barakah. Ini merupakan peluang untuk kita melipatkan gandakan amal ibadah dan memohon keampunan daripada SANG PENCIPTA.
Ramadan bukan sahaja memperuntukkan umat Islam untuk berpuasa dari mula terbit fajar hingga terbenam matahari. Tetapi, Ramadan turut memiliki ciri-ciri istimewa yang tidak dimiliki dalam mana-mana bulan Islam lain.
Digelarkan sebagai penghulu segala bulan, Ramadan bukan sahaja ruang untuk mendekatkan diri dengan ALLAH, tetapi mengajar kita tentang kesyukuran, kesederhanaan, sedekah dan melakukan amalan sunat seperti solat tarawih.
Pensyarah Pengajian Islam Universtiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Mohamad Dininazmi Sabri, berkata, Ramadan digelarkan sebagai penghulu segala bulan kerana ALLAH memberikan jutaan nikmat dan keindahan pada waktu itu.
Mohamad Dininazmi Sabri
Berbeza dengan bulan Islam yang lain, Ramadan merupakan waktu untuk umat Islam menyucikan diri, hati dan fikiran daripada terus dibelengggu dengan dosa.
“Alhamdulillah, Ramadan tiba lain. Walaupun kita sebelum ini pernah berdepan dengan Ramadan sewaktu pandemik, tetapi kini ALLAH mengembalikan semula nikmat untuk menjalani ibadah puasa seperti biasa.
“Ramadan digelarkan sebagai penghulu bulan Islam kerana pada waktu ini ALLAH mengangkat darjat Ramadan kerana dalam bulan tersebut segala amal kebaikan akan digandakan oleh ALLAH SWT,” katanya kepada Majoriti.
Menurut Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256), Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sekiranya telah tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji.”
Rebut peluang untuk melipat gandakan amal ibadah ke ALLAH sepanjang bulan Ramadan.
Tambah Mohamad Dininazmi, setiap saat bermula daripada siang hingga malam, Ramadan dipenuhi dengan peluang untuk melakukan ibadah terutama menjelang 10 malam terakhir.
“Sepanjang Ramadan bermula dari siang sampai malam, ALLAH sediakan pula waktu istimewa yang dipanggil sebagai malam Lailatul Qadar. ALLAH berikan kepada umat Islam malam Lailatul Qadar yang tiada pada malam-malam lain.
“Jadi inilah yang membuatkan Ramadan sangat istimewa kerana kita semua ‘mewah’ dengan peluang untuk bertaubat, memohon keampunan dan berdoa kepada-NYA,” jelasnya.
Oleh itu, secara kesimpulan, Ramadan merupakan bulan yang mendidik untuk bersabar, bersyukur dan menyucikan hati daripada noda dosa, dan janganlah kita mensia-siakan peluang itu kerana tahun depan belum tentu kita bertemu lagi bulan yang mulia ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram