22 Mac tarikh lihat anak bulan Ramadan


  • Primer
  • Rabu, 15 Mac 2023

Tarikh 22 Mac ditetapkan untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menetapkan hari permulaan puasa. — Gambar hiasan

PEJABAT Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan memaklumkan, tarikh melihat anak bulan Ramadan di Malaysia adalah pada petang, Rabu 22 Mac ini iaitu bersamaan 29 Syaaban 1444 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Rabu, tarikh permulaan puasa akan diisytiharkan pada malam Rabu melalui radio dan televisyen.

Jawatankuasa berkenaan telah diperkenankan melihat anak bulan Ramadan pada petang hari tersebut di 29 lokasi di seluruh negara iaitu Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka.

Selain itu, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson di Negeri Sembilan serta Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor juga turut diperkenankan oleh jawatankuasa-jawatankuasa berkenaan untuk melihat anak bulan.

Di Perak, lokasi melihat anak bulan adalah di Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru di Manjung; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh di Pulau Pinang serta Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda; Pemandangan Indah, Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar, Alor Setar di Kedah.

Lokasi lain Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Mukim Merang, Setiu di Terengganu serta Bukit Peraksi, Pasir Puteh; Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram, Kuala Krai dan Menara Bangunan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (SEDC), Kota Bharu di Kelantan.

Sementara itu, Pusat Falak Miri, Teluk Bandung, Kuching serta Tanjung Batu, Bintulu, Sarawak; Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah; Bukit Tanjong Batu di Nenasi, Gunung Berinchang di Cameron Highlands dan Bukit Pelindong di Kuantan, Pahang.

Turut menjadi lokasi melihat anak bulan Ramadan ialah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang, Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

"Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab," menurut kenyataan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram