RAMADAN merupakan bulan mulia yang dinantikan seluruh umat Islam di serata dunia. Waktu inilah, peluang untuk melipat gandakan amal ibadah kepada ALLAH dan meninggalkan perbuatan mungkar.
Pendakwah popular, Ismail Musa Menk atau lebih dikenali sebagai Mufti Menk, menasihatkan agar ambil peluang kebesaran bulan mulia itu untuk memperbaiki dan terus mendekatkan diri kepada ALLAH.
Katanya, Ramadan menyedarkan umat Islam tentang bagaimana perancangan dan usaha syaitan dalam melalaikan manusia sehingga melakukan perkara bertentangan dengan agama.
“Secara logiknya, kita semua tahu bagaimana membezakan perkara baik dan buruk. Tetapi, mengapa ada yang memilih untuk ke jalan tidak diredai ALLAH.
“Kebanyakan mereka sanggup melakukan perbuatan bertentangan dengan agama kerana takut akan kehilangan kuasa, takut untuk hidup susah, tidak mahu kehilangan apa yang dimiliki terutama nikmat dunia,” katanya dalam satu video ceramah beliau.
Situasi itu turut jelas menggambarkan bagaimana syaitan memainkan peranan dalam mengaburi umat Islam dengan nafsu. Syaitan itu sudah mempunyai perancangan dan setiap masa mereka ada 'idea' baharu untuk melalaikan dan menyesatkan umat manusia.
Ramadan menjadi bulan untuk umat Islam memperbaiki dan mendekatkan diri dengan ALLAH.
"Carilah jalan ALLAH kerana itu adalah kebahagian dunia dan akhirat. Dekatkan diri dengan orang yang betul, pilih mereka yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan tidak jemu mencari ilmu.
"Sekiranya tidak tahu teruskan bertanya. Didik diri untuk menjadi positif dan tidak tahu atau malu untuk mencari jawapan meskipun soalan itu agak memalukan," katanya.
Betulkan niat
Apabila tiba Ramadan, sebaiknya teguhkan pendirian iman dengan niat melakukan ibadah kerana ALLAH. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, mengikut apa yang dilakukan orang lain atau mengejar manfaat kesihatan.
Mufti Menk
Jelasnya, setiap apa yang diajarkan Islam bukanlah sesuatu yang sia-sia. Sebaliknya setiap amalan dan perbuatan itu memiliki kelebihan dan manfaat secara jasmani dan rohani.
“Perlu diingatkan, ajal maut boleh tiba pada bila-bila masa dan kita tidak tahu bila perkara tersebut boleh berlaku. Sebagai persiapan Ramadan, cuba latih diri dengan berpuasa sunat seperti Isnin dan Khamis.
“Berpuasa itu dapat membantu kita menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan jahat. Letak keutamaan dan niat dalam hati setiap apa yang dilakukan itu perlu ikhlas kepada ALLAH. Pastikan niat yang betul kerana di situlah nikmat ibadah akan muncul.
“Sekiranya tidak ikhlas dan mengharapkan pujian, kita hanya akan melebihkan pandangan orang dan bukannya berusaha untuk mendekatkan diri kepada ALLAH,” jelasnya.
Kesempatan Ramadan
Dekatkan diri dengan ibadah dan tinggalkan perbuatan maksiat demi mendidik hati untuk ikhlas kepada ALLAH.
Sempena kehadiran Ramadan yang bakal tiba nanti, Mufti Menk turut menegaskan agar jalani ibadah puasa dengan takwa.
“Bulan Ramadan ini apa kata mula membaca al-Quran, belajar terjemahan al-Quran, betulkan sebutan bacaan tajwid. Masa ini peluang kita untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan nikmati kasih sayang dengan ALLAH.
“ALLAH tahu mengapa diwujudkannya Ramadan. Ada banyak masa kita pasti akan tersasar daripada landasan hidup. Jadi, Ramadan ini yang akan membawa kita kembali ke jalan yang benar. Peluang untuk kita melakukan ibadah dan berbuat baik.
“Pintu keampunan terbuka luas sepanjang Ramadan. Insya-ALLAH jika kita bersungguh-sungguh membuka hati kepada ALLAH, ALLAH akan memberi kejayaan dunia akhirat kepada kita. Mereka yang berpeluang menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan, nikmati dan jalanilah dengan sebaik mungkin kerana siapa tahu mungkin ini Ramadan terakhir,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram