IBADAH puasa pada bulan Ramadan sering dikaitkan dengan keadaan tidak bermaya, cepat penat dan tidak bertenaga. Lebih-lebih lagi pada waktu petang, tenaga mula berkurangan sehingga aktiviti bersenam tidak dapat dilakukan.
Senaman berat semasa berpuasa juga boleh menyebabkan kerosakan otot, meningkatkan hormon stres di dalam tubuh, malahan melakukan senaman apabila perut kosong dan haus boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan. Hal ini kerana, individu akan merasa sangat letih dan pening hingga menyebabkan dehidrasi.
Berjoging masih boleh dilakukan semasa bulan puasa tetapi mengikut kemampuan diri sendiri.
Untuk mencegah perkara ini, anda harus bijak mencari waktu yang sesuai jika hendak bersenam pada bulan puasa. Namun begitu, waktu yang tepat untuk bersukan semasa berpuasa bergantung kepada diri seseorang itu.
Kemampuan setiap orang adalah berbeza-beza dan senaman masih boleh dilakukan apabila anda tidak merasa letih atau pening semasa berpuasa. Bagaimanapun, terdapat masa yang paling sesuai bagi anda untuk bersenam di bulan puasa iaitu:
1) Sebelum berbuka puasa
Anda boleh memilih untuk bersenam sambil menunggu waktu berbuka puasa agar metabolisme membakar lemak dalam badan lebih tinggi tetapi perlu mengikut kemampuan diri sendiri.
Perkara itu sudah pasti akan memberi kelebihan bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan ketika bulan Ramadan. Di samping itu, melakukan sukan semasa perut kosong boleh membantu dalam menghilangkan lemak tubuh dengan lebih banyak.
Setelah selesai bersenam, tenaga yang hilang boleh digantikan dengan mengambil makanan ketika berbuka puasa. Bersenam sebelum berbuka puasa merupakan waktu yang sesuai kerana tidak perlu bimbang akan mengalami paras gula dalam darah rendah.
Namun begitu, jangan memaksa diri untuk melakukan senaman yang berlebihan kerana anda dalam keadaan berpuasa dan mempunyai tenaga yang terhad. Oleh itu, masa senaman perlu dihadkan iaitu tidak melebihi 60 minit. Jangan terlalu produktif sehingga merasa sakit, letih dan pening ketika bersenam.
2) Selepas berbuka puasa
Waktu selepas berbuka puasa merupakan masa yang terbaik untuk anda bersenam. Masa yang sesuai bersenam adalah dua hingga tiga jam selepas berbuka puasa.
Digalakkan menunggu sehingga makanan dihadam agar mendapat tenaga untuk bersenam.
Hal ini kerana, jika tubuh badan sudah bertenaga, anda boleh melakukan pelbagai senaman yang anda inginkan pada masa tersebut iaitu dari intensiti ringan hingga berat, termasuk senaman untuk meningkatkan kekuatan dan jisim otot.
3) Selepas sahur
Jangan rasa pelik kerana sebenarnya selepas sahur juga anda boleh melakukan senaman. Hal ini kerana, tubuh badan menerima tenaga daripada makanan selepas sahur.
Namun begitu, sebaiknya senaman tersebut adalah sukan dengan intensiti ringan seperti joging perlahan, berjalan dan sukan kasual.
Bersenam selepas sahur adalah baik untuk dilakukan bagi menjaga kecergasan badan sepanjang bulan Ramadan. Namun begitu, anda perlu menyediakan tenaga dalam melakukan aktiviti seterusnya sehingga waktu berbuka puasa.
Oleh itu, tidak digalakkan untuk bersenam ketika puasa secara berlebihan selepas sahur. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram