[VIDEO] Mesyuarat Perwakilan Umno Lahad Datu kecoh, penuh aksi balas membalas berdas-das buku lima


  • 112
  • Ahad, 19 Mac 2023

Tangkap layar daripada rakaman video tular insiden pergaduhan melibatkan beberapa individu di Mesyuarat Perwakilan Umno. — Facebook

MESYUARAT Perwakilan Umno Bahagian Lahad Datu di Dewan Sri Perdana, Lahad Datu, Sabah dicemari oleh insiden pergaduhan dipercayai akibat provokasi sehingga menyebabkan dua individu cedera pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dalam insiden pada pukul 2.45 petang itu, seorang daripada mangsa yang cedera adalah kakitangan Badan Perhubungan Umno Sabah manakala seorang lagi Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Lahad Datu.

"Suspek yang terlibat dalam kekecohan ini dikenal pasti iaitu dua lelaki berumur 33 dan 38 tahun yang juga merupakan ahli biasa Umno Bahagian Lahad Datu.

"Polis akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 15(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Rohan Shah turut menasihati orang ramai agar menghentikan penularan video dan gambar berkaitan insiden itu kerana kes tersebut masih dalam siasatan polis.

Katanya, pihak penganjur diminta untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Sophia Thomas Kasau di talian 013-939 2505.

Ketika dihubungi, Rohan Shah berkata, kedua-dua suspek tampil memberi keterangan kepada pihak polis. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram