TEKA-TEKI penyandang jawatan Ketua Wanita Umno akhirnya terjawab apabila Datuk Dr. Noraini Ahmad mengekalkan jawatan tersebut pada pemilihan sayap parti berkenaan bagi penggal kedua.
Pada status Facebook rasminya, Noraini mengucapkan terima kasih kepada Wanita Umno yang masih memberikan kepercayaan kepada beliau untuk mengemudi sayap Umno itu.
"Alhamdullillah. Segala puji hanya bagi ALLAH. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Wanita Umno di seluruh negara serta sahabat #SusahSenangBersama di atas sokongan dan kepercayaan kepada saya untuk terus meneraju Wanita Umno sebagai Ketua Wanita Umno Malaysia.
"Ayuhlah, bersama kita meneruskan pemerkasaan wanita untuk ke tahap lebih tinggi menjadi realiti," tulisnya pada Ahad.
Noraini sebelum ini dicabar Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang membuat kemunculan semula setelah melepaskan jawatan itu pada 2018.
Sementara itu, pemilihan Ketua Pemuda Umno menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh, memenangi jawatan itu.
Mana kala, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi pula dipilih menyandang jawatan Ketua Puteri Umno. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram