Sarawak berduka, banjir landa 3 kawasan


  • Massa
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Antara kawasan di sekitar Sarawak yang dinaiki air sejak hujan lebat pada Jumaat malam. — Media Sosial

SELEPAS banjir yang melanda Johor mulai surut, kini bencana itu beralih kepada negeri di kepulauan Borneo, Sarawak.

Perkongsian gambar dan video penduduk di bumi Kenyalang di media sosial menyaksikan beberapa kawasan di sekitar Kuching, Serian dan Samarahan terjejas, selepas air mulai naik ke jalan-jalan utama.

Di Kuching, kawasan terjejas setakat ini adalah di Batu 10, sekitar jalan Hospital Umum Sarawak, Kampung Sinar Budi Baru, Taman Desa Wira, Batu 7 dan kawasan sekitarnya, manakala di Samarahan pula membabitkan kawasan Uni Garden dan Taman Samarindah.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) turut mengeluarkan amaran ribut petir yang melanda Sarawak bermula pagi hingga pukul 2 petang Sabtu.

Sementara itu, Khidmat Malaysia Pusat bertindak mengaktifkan Pusat Operasi atau Bilik Gerakan Info Bencana (BGIB) Pusat.

Ia bertujuan memantau dan menguruskan bantuan banjir, susulan hujan lebat melanda beberapa daerah di Sarawak sejak tengah malam Jumaat.

Perkara itu diumumkan Khidmat Malaysia Pusat menerusi satu hantaran di Facebook rasmi badan berkenaan.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sebarang maklumat berkaitan bencana banjir boleh menghubungi Hotline Khidmat Malaysia di talian 011-14174789.

Selain itu, sumbangan ke atas mangsa banjir yang terjejas juga boleh disalurkan ke akaun KHIDMAT MALAYSIA (Maybank: 5623 8454 2866). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram