BANJIR yang melanda beberapa negeri, terutamanya Johor menyaksikan ribuan penduduk terjejas dengan penempatan dan harta benda terkesan dengan musibah berkenaan.
Setakat ini, ada yang sudah diberikan kebenaran untuk pulang ke halaman masing-masing selepas didapati keadaan sudah bertambah baik.
Namun, dengan pelbagai usaha perlu dilakukan, pasti perbelanjaan besar terpaksa dikeluarkan sepanjang kerja-kerja pembersihan daripada orang ramai.
Oleh itu, dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung, Johor Darul Takzim (JDT) dengan berbesar hati tampil untuk membantu mereka yang terkesan.
Usaha tersebut pastinya akan mengurangkan beban yang ditanggung mangsa banjir. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Dalam satu hantaran yang dibuat di media sosial rasmi kelab, Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Allistair Edwards mengumumkan perkara berkenaan pada Khamis.
"Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim menitahkan JDT agar kesemua jualan tiket perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim sehingga akhir Ramadan disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir di Johor.
"Ini melibatkan perlawanan Liga Super menentang Kelantan (11 Mac), Sabah (31 Mac), Kedah (9 April) dan perlawanan Piala FA bertemu PDRM (14 April)," katanya.
Tambahnya, segala usaha untuk menyalurkan dana akan dibuat menerusi pejabat daerah negeri bagi memudahkan segala urusan penerimaan bantuan.
Sebelum ini, Kedah Darul Aman (KDA) FC juga tampil membantu dengan menyatakan 10 peratus daripada hasil kutipan jualan tiket hari perlawanan bakal disalurkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram