Tingkap, pintu rumah mangsa banjir pecah akibat 'ombak', polis nasihatkan pemandu perlahankan kenderaan di Batu Pahat


  • 112
  • Isnin, 13 Mac 2023

Keadaan salah satu rumah mangsa banjir di Batu Pahat pada Februari lalu.

DUA laluan di Batu Pahat, Johor iaitu Parit Sulong ke Seri Medan dan Parit Sulong ke Tongkang Pechah masih ditutup untuk kenderaan ringan, susulan jalan itu dinaiki air melebihi paras 0.3 meter (m).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kenderaan berat dibenarkan melalui kawasan tersebut sejak lima hari lepas.

"Saya nasihatkan pemandu kenderaan berat untuk perlahankan kenderaan sewaktu melalui lokasi ini kerana kita terima aduan penduduk yang tingkap, pintu dan pagar mereka pecah akibat terkena 'ombak' ekoran pergerakan kenderaan yang laju," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi pembersihan di Yong Peng di Batu Pahat pada Isnin.

Ismail berkata, laluan lain di sekitar Batu Pahat sudah mula dibuka kepada semua jenis kenderaan, susulan air banjir mulai surut sejak Ahad.

Sementara itu, Ismail berkata, setakat ini, pihaknya menerima satu laporan berhubung kes pecah rumah di Parit Sulong, Sabtu lepas.

Bagaimanapun, katanya, siasatan mendapati tiada kerugian dilaporkan dan mangsa membuat laporan selepas mendapati pintu rumahnya terbuka selepas pulang daripada pusat pemindahan sementara. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram