Hak Melayu, Bumiputera lebih selamat di bawah Kerajaan Perpaduan — Anwar Ibrahim


  • Politik
  • Sabtu, 18 Mac 2023

Anwar hadir merasmikan Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada Sabtu.

KONGRES Nasional Khas PKR 2023 bermula pada Sabtu dengan kehadiran yang amat tinggi.

Ini adalah kali pertama Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di hadapan ahli parti selepas menjadi Perdana Menteri.

Dalam majlis itu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan akan membela nasib rakyat selain tidak akan berkompromi isu membabitkan negara termasuk rasuah.

Selain itu, beliau meyakinkan rakyat bahawa, hak dan kedudukan Melayu serta Bumiputera lebih selamat di bawah Kerajaan Perpaduan.

Bercakap mengenai penglibatan parti komponen Pakatan Harapan (PH), Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada DAP dan menyifatkan parti itu kekal sebagai 'sahabat setia' sehingga sekarang.

Dalam pada itu, penampilan penyanyi rock veteran, Datuk Nashrudin Elias atau Datuk Nash antara selebriti memberi kejutan kepada para hadirin yang membanjiri Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor itu.

Dalam majlis sama, Anwar juga melepaskan misi pasca banjir Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk mangsa banjir di Johor.

Sebagai simbolik pelepasan misi bantuan itu, Anwar menyerahkan bendera Johor dan bendera misi kepada Timbalan Ketua Penerangan AMK Nabil Halimi, merangkap Ketua Koordinator Khidmat Untuk Malaysia.

Majlis disaksikan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli; Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim.

Turut hadir pada kongres itu termasuk Setiausaha Agung DAP Anthony Loke; Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa; Wilfred Madius Tangau dari Upko dan 41 wakil dari pelbagai perwakilan asing. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram