Warga emas berdepan detik cemas tangan disambar buaya ketika ambil wuduk di Kuala Terengganu


  • Massa
  • Ahad, 12 Mac 2023

Ketika mengambil wuduk dalam keadaan mencangkung, tiba-tiba muncul seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter menyambar mangsa. — Gambar Hiasan

SEORANG warga emas berdepan detik cemas apabila tangan kanannya digigit seekor buaya di sebuah kawasan paya berhampiran Padang Papan di Manir, Kuala Terengganu, Terengganu Jumaat lepas.

Che Man Zakaria, 61, yang bekerja sebagai penangkap ikan darat berkata kejadian pada pukul 7.25 petang itu berlaku ketika dia sedang mengambil wuduk menggunakan air paya untuk menunaikan solat Maghrib.

"Saya baru sahaja selesai menangkap ikan darat di paya itu dan ingin solat Maghrib terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Ketika mengambil wuduk dalam keadaan mencangkung, tiba-tiba muncul seekor buaya sepanjang kira-kira dua meter menyambar tangan kanan saya.

"Kejadian itu menyebabkan saya terjatuh ke dalam paya. Kawan-kawan saya yang tidak sedar kejadian itu, bertanya kenapa saya terjun, saya cakap bukan saya terjun tetapi ada buaya sambar tangan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kebor Besar di Manir, Kuala Terengganu.

Katanya, setelah menggigit tangannya reptilia itu terus menghilangkan diri di dalam paya dan tidak lagi timbul walaupun dia dan rakan-rakan cuba mencari haiwan itu.

Che Man berkata, dalam keadaan berlumuran darah, dia menggagahkan diri menunggang motosikal pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian untuk mendapatkan bantuan ahli keluarga.

Kejadian itu menyebabkan dia terpaksa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini dan menerima 12 jahitan di tangan kanan.

Bapa kepada 10 anak itu memberitahu sebelum ini dia pernah terserempak dengan buaya di kawasan paya berkenaan namun kejadian pada petang Jumaat itu adalah kali pertama haiwan itu menyambarnya.

"Saya percaya ada lagi dua atau tiga ekor buaya di kawasan paya itu. Mungkin reptilia itu terlepas masuk dari Sungai Nerus akibat banjir Disember lepas,” katanya yang 15 tahun menangkap ikan darat sebagai sumber rezeki untuk menyara keluarga. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram