SEORANG warga emas bersama anak perempuan yang baru sembilan hari bersalin serta ahli keluarganya, terpaksa menumpang di rumah saudara selepas kediamannya di Jalan Bulang, Endau, Mersing, Johor dinaiki air.
Razali Ismail, 63, berkata anaknya itu pulang untuk berpantang ke rumahnya berikutan cuti sekolah namun menjadi antara mangsa terjejas berikutan banjir yang melanda sekitar kawasan kediamannya.
"Semuanya berlaku begitu pantas. Air di halaman rumah naik secara mendadak sehingga paras dada. Tahun 2006 dulu pernahlah juga kena banjir tapi barangan dan perkakas elektrik dapat diselamatkan.
"Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), memandangkan anak sedang berpantang selain memikirkan keadaan kesihatan isteri, " katanya.
Razali yang juga merupakan seorang nelayan turut memohon agar pihak berkenaan dapat menghulurkan bantuan kepada mereka sekeluarga yang terkesan akibat bencana itu.
Suasana banjir di Jalan Bulang dilaporkan sudah semakin surut manakala di Kampung Semaloi pula, terdapat beberapa rumah masih digenangi banjir termenung serta sawah padi masih ditenggelami air.
Seorang lagi penduduk, Nur Syahidah Amira Mohd Shamsudin, 30, berkata barangan di rumahnya terjejas teruk selepas terendam dengan air banjir, sejak Selasa lepas.
"Walaupun dah angkat barangan letak dekat tempat tinggi, tetapi sebab air mencecah paras pinggang dalam rumah, memang tak dapat nak buat apalah, kami reda.
"Sawah padi ayah, Mohd Shamsudin Mohamad pun tenggelam juga. Tak dapat nak tahu berapa kerugian sebab air masih belum surut lagi," kata penduduk Kampung Semaloi itu.
Bagi seorang pesara, A Ranee Bakar, 68, berkata, setiap tahun mereka sekeluarga berdepan banjir tetapi tidaklah teruk, dengan air akan kembali surut dalam tempoh empat hingga lima jam kemudiannya.
"Bagaimanapun, kira-kira pukul 8 malam pada Jumaat lepas, air mula naik mendadak. Kami pun cepat-cepat menyelamatkan dokumen penting dan barangan berharga serta mengalihkan perkakas elektrik ke tempat tinggi.
"Kita ingatkan sekejap saja, tetapi tak sangka sampai semalam baru surut oleh itu, kami terpaksa tinggal di rumah inap desa milik saudara yang terletak berhampiran selepas diarahkan bomba untuk berpindah," kata bapa kepada enam anak yang tinggal di Kampung Semaloi itu.
Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Mersing, Mohd Shahril Mohdd Shamsudin berkata, walaupun Mersing menerima hujan selama dua hari saja, namun kedudukan mukim Endau di hiliran, menyebabkan ia menerima limpahan air dari huluan Kluang dan Taman Negara Endau Rompin melalui Sungai Endau, Johor.
"Oleh itu, air Sungai Endau telah melimpah ke tebing sejak 1 Mac lepas namun sudah semakin surut. Pada Rabu, bacaan air menunjukkan penurunan paling banyak dengan dibantu dua pam tambahan daripada aset JPS.
"Semua mangsa banjir akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing sekiranya aras sungai tidak lagi berada pada paras bahaya, " katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram