TATKALA bencana banjir melanda di beberapa negeri baru-baru ini, pelbagai harta benda bukan sahaja musnah, malah nyawa manusia dan haiwan ternakan turut terancam.
Di Melaka, sekurang-kurangnya 10,000 haiwan ternakan dilaporkan lemas akibat banjir besar yang melanda Melaka sejak 1 Mac lalu melibatkan kerugian lebih RM10 juta.
Sementara itu, di Segamat, Johor, seorang penternak lembu pilu apabila 69 lembunya lemas tidak dapat diselamatkan akibat banjir besar melandar daerah berkenaan awal bulan lalu.
Terbaharu, tular sebuah video memaparkan lambakan ayam yang berada di dalam sebuah reban mati lemas ketika banjir.
Video berdurasi 28 saat itu turut memaparkan, seorang lelaki menempatkan bangkai ayam tersebut sehingga memenuhi ruang sebuah lori menggunakan sebuah kereta sorong.
Keadaan ini sudah pasti akan merugikan hasil pendapatan penternak ayam untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Tidak dapat dipastikan masa sebenar kejadian itu, namun ia dipercayai berlaku pada bulan ini.
Sementara itu, berdasarkan nombor plat yang tertera pada lori berkenaan, kejadian tersebut difahamkan berlaku di Johor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram