[VIDEO] Bumi Turkiye menangis lagi, banjir besar korbankan 14 mangsa


  • Benua
  • Khamis, 16 Mac 2023

Tangkap layar bencana banjir melanda di dua daerah Turkiye.

IBARAT jatuh ditimpa tangga. Itulah peribahasa yang sesuai digambarkan dalam situasi yang melanda di Turkiye ketika ini.

Baru sahaja dilanda gempa bumi, penduduk di negara itu sekali lagi berhadapan detik getir apabila bencana banjir pula berlaku di dua bandar dekat tenggara Turkiye.

Dalam kejadian tersebut, seramai 14 individu dilaporkan maut dan beberapa lagi masih hilang.

Dua daripada mangsa dalam bencana itu merupakan penghuni rumah kontena yang terperangkap dalam banjir manakala 12 orang lagi terkorban selepas kereta mereka hanyut dibawa deras air di Sanliurfa.

Bencana banjir itu dilaporkan berlaku selang lima minggu selepas kejadian gempa bumi yang mengorbankan lebih 48,000 mangsa.

Anggota pasukan mencari dan menyelamat hanya dikenali sebagai Afad berkata, dalam tempoh 24 jam, hujan lebat turun di sebuah kawasan wilayah Adiyaman dan Sanliurfa.

Dalam perkembangan lain, Gabenor Sanliurfa, Salih Ayhan berkata, beliau tidak pernah melihat kejadian banjir seperti itu.

Salih turut merayu agar semua penduduk segera mengosongkan tingkat bawah dan ruang bawah tanah rumah masing-masing demi keselamatan mereka.

Dalam pada itu, media Syria mengesahkan lima mayat yang ditemui di kawasan bawah tanah di sebuah pangsapuri merupakan warga Syria.

Beberapa mangsa dilaporkan hanyut bersama kenderaan masing-masing dan mereka yang cuba memberikan bantuan turut dibawa arus.

gah

Orang ramai cuba menyelamatkan seorang mangsa di sebuah jambatan.

Dalam kejadian lain, seorang lelaki dilihat tergantung di sebuah jambatan ketika cuba diselamatkan orang ramai di persimpangan Abide.

Menurut Gabenor di kawasan tersebut, dua daripada mangsa yang hilang merupakan anggota bomba dan sebuah hospital juga turut dinaiki air dan seramai 200 pesakit telah dipindahkan ke tempat lain.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang masih lagi bergelut dengan bencana gempa bumi bulan lalu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu untuk melawat ke kawasan yang terkesan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram