BEKAS Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil sah akan bertanding merebut jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan parti 2023.
Urusetia pemilihan Umno telah menerima borang pencalonan Shahrizat tepat pukul 11.20 pagi Jumaat.
Borang berkenaan diserahkan oleh wakil calon, Suhana Zam.
Penyerahan borang ini menamatkan spekulasi berhubung pembabitan beliau dalam arena politik negara selepas menyepi sejak lima tahun lalu.
Situasi ini juga bermakna penyandang jawatan, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad akan dicabar 'senior' dalam pergerakan sayap itu.
Shahrizat yang memegang jawatan itu sejak 2009 mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya itu pada pemilihan parti 2018 kerana ingin memberi peluang kepada muka baharu selain mahu melihat pembaharuan dalam parti.
Pemilihan bagi jawatan sayap Umno, termasuk Wanita, akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.
Wakil calon, Suhana Zam (kanan) menghantar borang pencalonan Shahrizat kepada urusetia pemilihan Umno.
Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat mengalami kekalahan mengejut di tangan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di kerusi parlimen Lembah Pantai, yang disandangnya sejak 1995.
Beliau bagaimanapun, dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri bagi hal ehwal pembangunan wanita dan sosial sebelum keluarganya terpalit dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).
Nama Shahrizat bagaimanapun dibersihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM daripada sebarang penglibatan.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini heboh dikhabarkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu akan bertanding bagi jawatan lamanya pada pemilihan parti itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram