'Esok saya putuskan', Shahrizat bakal tamatkan desas-desus rebut kerusi Ketua Wanita Umno


  • Politik
  • Khamis, 16 Feb 2023

Shahrizat dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung keputusannya untuk bertanding semula untuk jawatan Ketua Wanita Umno pada Jumaat.

BEKAS Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil semakin hampir untuk membuat keputusan kembali aktif dalam dunia politik.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini heboh dikhabarkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu akan bertanding bagi jawatan lamanya pada pemilihan parti itu Mac ini.

Shahrizat yang memegang jawatan itu sejak 2009 mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan itu pada pemilihan parti tahun 2018.

"Esok (Jumaat), saya akan buat keputusan, Insya-ALLAH," jawapnya ringkas bagi menjawab pertanyaan Majoriti berhubung perkara itu.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Shahrizat akan bertanding jawatan ketua pergerakan wanita dan borang pencalonan akan diserahkan ke ibu pejabat Umno pada Jumaat menerusi wakilnya.

Menurut sumber, keputusan itu dibuat selepas mengambil serius suara lantang rakyat yang mahu melihat pembaharuan dalam Umno, selain memberi peluang kepada muka baharu.

Ditanya berhubung penyerahan borang pencalonan seperti dilaporkan, Shahrizat bagaimanapun berkata: "Belum lagi."

Malahan, beliau juga dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada Jumaat bagi meleraikan pelbagai persoalan berkaitan perkara itu.

Sebelum ini, penyandang jawatan berkenaan, Datuk Noraini Ahmad mengesahkan untuk mempertahankan jawatannya.

Pemilihan bagi jawatan sayap Umno, termasuk Wanita, akan berlangsung serentak di seluruh negara pada 11 Mac depan.

Pada pilihan raya umum 2008, Shahrizat mengalami kekalahan mengejut di tangan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di kerusi parlimen Lembah Pantai, yang disandangnya sejak 1995.

Beliau bagaimanapun, dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri bagi hal ehwal pembangunan wanita dan sosial sebelum keluarganya terpalit dalam skandal National Feedlot Corporation (NFC).

Nama Shahrizat bagaimanapun dibersihkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM daripada sebarang penglibatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram