SEORANG lagi mangsa kemalangan melibatkan sebuah van yang terbabas di Kilometer 4.8 Jalan Genting Highlands dekat Bentong, Pahang pada Rabu didapati maut, menjadikan jumlah yang terkorban kini tujuh orang.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mereka yang maut dikenali sebagai Wong Choun Chiet (pemandu), 49 ; Foong Ah Lan, 67 ; Lee Moy, 67 ; Goh Siew Kim, 61 ; Ang Meng Hing, 62 ; Seow Mee Tin, 72, dan Chang Them Kong, 70.
Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati, 13 penumpang dari Genting Highlands dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang menaiki sebuah van persiaran, yang kemudian hilang kawalan lalu terbabas melanggar konkrit pembahagi jalan di sebelah kanan.
"Akibat kemalangan itu, pemandu van telah meninggal dunia di tempat kejadian bersama lima orang penumpang lain, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, enam mangsa yang cedera sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (termasuk seorang yang kemudian meninggal dunia), manakala dua lagi dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan dan telah dipindahkan ke Hospital Temerloh.
Ramli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Polis memohon orang ramai yang menjadi saksi kemalangan itu tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.
Kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 1.15 tengah hari, semasa van yang dinaiki 14 orang itu sedang dalam perjalanan turun dari Genting Highlands sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram