[VIDEO] Nasib baik sempat lompat keluar, kereta kena seret lori kontena sejauh 3km


  • Benua
  • Isnin, 13 Feb 2023

Tangkap layar video memaparkan aksi lori kontena itu menyeret sebuah kereta di Meerut, dekat Uttar Pradesh, India. — Agensi

MESKIPUN seseorang individu sudah pun membawa kenderaan secara berhati-hati, namun sikap cuai pengguna jalan raya lain menyebabkan nyawa orang ramai hampir melayang.

Baru-baru ini, sebuah lori kontena dengan 22 tayar merempuh dan menyeret sebuah kereta sejauh kira-kira tiga kilometer (km).

Namun, nasib baik menyebelahi kesemua empat penumpang kereta berkenaan, apabila mereka melompat keluar tepat pada masanya dan terlepas daripada sebarang kecederaan serius.

Perkara itu disaksikan oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian di Meerut, dekat Uttar Pradesh, India.

Video berkaitan kemalangan itu kini tular di media sosial.

Menurut penduduk setempat, penumpang di dalam kereta berkenaan sudah meminta pemandu lori tersebut memberhentikan kenderaannya ketika kemalangan itu.

Namun, kenderaan berat itu sebaliknya terus merempuh kereta berkenaan sebelum dikejar dan dipintas oleh pihak polis.

Difahamkan, polis sudah pun menahan pemandu lori yang dilaporkan mabuk ketika kejadian.

Pada masa sama, pihak polis turut mengambil keterangan daripada penumpang kereta dan pemandu lori yang dilaporkan bertengkar selepas kemalangan itu.

Kemalangan membabitkan lori kontena yang kerap berlaku di Meerut menimbulkan persoalan tentang penguatkuasaan lalu lintas di India, yang melaporkan hampir 200,000 kematian akibat nahas jalan raya setiap tahun. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram