[VIDEO] Dulu kecoh bawa anak anjing dalam troli pasar raya, sekarang atas meja restoran mamak pula


  • Tular
  • Selasa, 14 Mac 2023

Tangkap layar video tular memaparkan kejadian seorang lelaki meletakkan anak anjing miliknya di atas sebuah meja makan.

SEBAGAI negara yang memiliki penduduk berbilang kaum, setiap penduduk haruslah mengamalkan sikap toleransi dan budaya hormat-menghormati.

Namun, perkara itu ada ketikanya tidak ditonjolkan sesetengah pihak misalnya insiden seorang lelaki yang dengan selamba meletakkan seekor anjing peliharaannya di atas meja di sebuah restoran mamak.

Perkara itu dikongsikan oleh seorang wanita di laman TikTok @annieariffin dan tular ia tular.

"Aku tak tahu nak cakap apa, sebab dia letak anak anjing itu atas meja, tadi atas kerusi," katanya kesal.

Pada masa sama, wanita itu bimbang sekiranya pelanggan lain, khususnya mereka beragama Islam yang duduk di meja dan kerusi tersebut terutama jika ada kesan najis haiwan berkenaan.

Malah ada yang mempersoalkan mengenai perlunya menyertu kerusi dan meja berkenaan.

"Kang kita yang duduk situ tersentuh ke, anjing tu tak tahu lah basah ke kering," tambahnya.

Setakat ini, masa dan lokasi kejadian itu masih belum dapat dipastikan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan rasa tidak puas atas perbuatan lelaki berkenaan.

@ily_hanani berkata: "Ah samalah taman rekreasi pun dah ada signboard pun still bawa anjing melepak membuang najis. Tak tahu apa guna ada signboard. Kena letak security guard semua tempat ke?"

Tambah @ImanKeisuke: "Dah 2023 pun masih macam ni."

Tulis @gunspeacialist: "Restoran kena letak sign 'No Pet Allowed' (Haiwan Peliharaan Tidak Dibenarkan)."

Pada Disember lalu, seorang individu tidak bertanggungjawab bertindak meletakkan anjing peliharaannya di dalam sebuah troli, di sebuah pasar raya di Kuching, Sarawak.

Selang beberapa jam selepas gambar berkaitan dimuat naik, pihak pengurusan tampil menjawab mereka akan menyertu semua troli di pasar raya tersebut pada keesokan harinya, serta membuat siaran langsung untuk meyakinkan pelanggan.

Pihak pengurusan pasar raya tersebut turut menegaskan bahawa semua cawangannya tidak membenarkan haiwan peliharaan memasuki premis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram