PERANG dua negara, Rusia dan Ukraine dilihat seakan-akan tidak menemui titik noktah, apabila provokasi bagi memanaskan keadaan masih berlarutan.
Baru-baru ini, dron 'kamikaze' Ukraine dilihat mengintai pergerakan kereta kebal Rusia dikenal pasti sebagai T-80BV, yang sedang melalui jalan terpencil di wilayah Kharkiv.
Rakaman yang diambil dari sudut pandangan atas dron yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Keselamatan Ukraine itu memaparkan ia berlegar-legar di udara dan mengejar sasarannya.
Dron itu kemudian dilihat menghampiri kereta kebal tersebut sebelum rakaman video itu menjadi kabur.
Dron 'kamikaze' merupakan pesawat kecil tanpa pemandu yang penuh dengan bahan letupan, yang boleh diterbangkan terus ke kereta kebal atau sekumpulan tentera.
Apabila mengenai sasaran, ia terus meletup.
Nama 'kamikaze' itu berasal daripada juruterbang kamikaze Jepun era Perang Dunia I yang digeruni, dan apabila melakukan serangan berani mati dengan sengaja merempuh pesawat berisi bahan letupan mereka ke sasaran musuh.
Sementara itu, Perkhidmatan Keselamatan Ukraine menerusi hantaran di laman Twitternya berkata, ejen khasnya sudah memusnahkan kereta kebal Rusia dengan dron 'kamikaze' tersebut.
"Rusia cuba melarikan diri tetapi mereka tidak begitu berjaya. Dan kami akan terus memusnahkan penceroboh sehingga kemenangan sepenuhnya," tulisnya.
Difahamkan, harga setiap T-80BV bernilai kira-kira AS$3 juta (RM13.4 juta).
Rusia dilapor bergantung kepada simpanan kereta kebal jenis T-80 dan T-72 era Soviet untuk melancarkan perang di Ukraine.
Sejak permulaan serangan ke atas Ukraine, lebih 3,400 kereta kebal Rusia sama ada sudah dimusnahkan atau dirampas Ukraine, menurut maklumat terkini daripada Kementerian Pertahanan Ukraine.
Namun, media antarabangsa masih tidak dapat mengesahkan angka tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram