KWSP teliti kaedah Akaun 2 jadi pinjaman peribadi pencarum


  • Primer
  • Jumaat, 10 Mac 2023

Kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang menilai dan memperincikan kaedah terbaik bagi melaksanakan kemudahan penggunaan baki caruman dalam Akaun 2 ahlinya.

Ia sebagai salah satu sebagai sokongan untuk membuat pinjaman peribadi bagi mereka yang memerlukan bantuan tunai.

KWSP berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai pengumuman terkini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemudahan tersebut.

"KWSP ambil maklum perkara ini dan akan mempertimbangkan semua faktor yang relevan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar.

"Maklumat lanjut mengenai pelaksanaan kemudahan ini akan diumumkan oleh KWSP pada masa yang akan datang," kata KWSP dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Anwar ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat memberitahu, kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan.

Katanya, kaedah itu boleh ditawarkan kepada mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram