Pengeluaran KWSP tetap tak benarkan tapi kerajaan tambah caruman 2 juta ahli


  • Primer
  • Jumaat, 24 Feb 2023

Kerajaan akan menambah caruman simpanan semoga memberi manfaat kepada dua juta ahli KWSP.

KERAJAAN beriltizam membantu rakyat membina semula simpanan persaraan bagi memastikan kewangan mencukupi untuk membiayai hari persaraan.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menambah caruman simpanan semoga memberi manfaat kepada dua juta ahli KWSP.

"Kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka, Kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 mereka sebanyak RM500.

"Program ini akan memberi manfaat kepada hampir dua juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 billion," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan kerajaan boleh membenarkan pengeluaran KWSP namun akan memberi kesan kepada dividen rakyat.

"Saya tekankan begini, kita boleh beri pengeluaran dalam keadaan terdesak, kalau kerajaan memberikan RM500 ringgit kepada golongan kategori bawah yang miskin, kemudian golongan kaya dibenarkan keluarkan wang mereka, dividen orang miskin yang ramai itu akan terjejas.

"Maksudnya jika tarik wang orang kaya daripada KWSP bermakna dividen orang miskin yang kerajaan dah tampung RM500 itu akan berkurangan," ujarnya.

Sementara itu, jumlah had pelaburan individu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditingkatkan kepada RM300,000 berbanding RM200,000 sebelum ini, kata Anwar.

Beliau berkata kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan saiz dana Amanah Saham Malaysia sebanyak RM5 bilion.

"Langkah ini bertepatan dengan usaha kerajaan dalam menyokong peningkatan ekuiti dalam kalangan Bumiputera," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram