NAMPAKNYA saingan Liga Super yang baru membuka tirai musim ini sudah terpalit kontroversi kewangan membabitkan sebuah kelab Pantai Timur selepas perkara itu didedahkan oleh salah seorang bekas kakitangan kelab bola sepak berkenaan.
Meskipun perkara itu bukan membabitkan isu kelewatan pembayaran gaji, namun ia ada kaitan dengan pengurusan kewangan kelab selepas individu tersebut mendakwa tidak menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tempoh setahun.
Perkongsian tersebut dibuat Palatao Bola dengan memuat naik semula tangkap layar hantaran komen bekas pekerja Kelantan FC, yang memohon penjelasan daripada pemilik kelab The Red Warriors, Norizam Tukiman.
Naim Sakeri mendakwa, tiada caruman KWSP dibuat oleh bekas majikannya itu dari tempoh setahun dari Januari hingga Disember 2022 meskipun potongan bulanan dinyatakan dalam slip gaji.
"Saya antara staf yang pernah berkhidmat bersama TRW dan saya telah undur diri atas beberapa sebab dan tarikh saya undur diri adalah pada 26 Disember 2022. Surat peletakan jawatan dihantar pada 31 Oktober 2022.
"Alhamdulillah gaji saya pada bulan November sudah diterima pada 28 Januari lepas. Tapi saya ada beberapa persoalan berkenaan caruman KWSP.
"Caruman KWSP saya pada bulan Januari hingga Disember tahun 2022 masih tiada apa-apa bayaran di dalam akaun KWSP.
"Setiap kali gaji dibayar, memang ada potongan di dalam slip gaji untuk KWSP tapi bila saya semak dalam akaun KWSP masih tiada bayaran. Jadi saya minta pencerahan daripada En Zam," tulisnya.
Kelantan FC mencatatkan kemenangan sulung di pentas Liga Super pada Ahad.
Komen itu kemudian dibalas oleh salah seorang bekas pemain TRW, Zubir Azmi yang memberi bayangan ada bekas pemain kelab itu termasuk dirinya tidak menerima caruman KWSP.
"Takpe Naim, insya-ALLAH kebenaran akan muncul juga...kami bekas pemain pun sama juga setiap bulan potong gaji tapi cek KWSP tiada bayaran. Dah buat laporan kepada KWSP belum?," soalnya.
Naim membalas dengan mengatakan bahawa dia belum membuat laporan setakat ini dan memilih untuk menunggu maklum balas daripada pihak pengurusan TRW terlebih dulu.
Sementara itu, Norizam menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, caruman KWSP kepada pemain dan pekerja akan dibayar cuma ia dilaksanakan secara berperingkat.
Norizam yang juga dikenali sebagai Zamsaham berkata, pembayaran akan dapat diselesaikan lebih awal jika prestasi Kelantan FC memberangsangkan dari segi persembahan pemain dan kehadiran para penyokong ke stadium.
"Bab KWSP tentu sahaja kita akan bayar kerana semuanya berperingkat. Insya-ALLAH kalau pemain tunjukkan aksi yang bagus dan menang selalu stadium penuh kita akan dapat selesaikan lebih awal.
"Setakat tiga tahun saya pegang bola ni, tiada seorang pemain dan pengurusan tak dapat gaji. Kalau ada tak dapat, tentu ia ada isu dan kes tertentu.
"Dan saya sentiasa ambil berat hal kakitangan hinggakan mereka semua ada akses untuk hubungi saya secara peribadi jika mereka terdesak nak pakai duit segera, nak pakai loan dan advance gaji," katanya.
Norizam berkata, persekitaran ekonomi Malaysia masih mencabar ekoran kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat Covid-19, inflasi dan kenaikan faedah bank.
"Bukan saya sahaja tentu ramai yang ada perniagaan sedang berjuang untuk memastikan tanggungjawab sebagai majikan terlaksana sebaiknya.
"Alhamdulillah, gaji pemain dan team jurulatih semua tiada sangkut cuma kadang-kadang tu adalah lewat seminggu dua. Lewat tapi dapat. Faham sahajalah industri bola Malaysia bagaimana.
"Kita bukan macam sesetengah team yang sangkut lebih lima bulan sehingga lesen digantung. Setakat ini, kita clean semua gaji 'setel'.
"Insya-ALLAH saya yakin TRW Kelantan FC akan terus berjaya bayar gaji sehingga habis musim tanpa sangkut. Dan akan dapat bayar semua keperluan on time pada masa hadapan," tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram