PM 100 hari: Rakyat anggap 3 tahun tempoh bijak nilai Anwar tadbir negara


Anwar menandatangani Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia pada 24 November lalu. — Bernama

MESKIPUN tempoh 100 hari bukan masa yang panjang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan komitmen dan ketegasannya dalam memastikan kemajuan negara menerusi gagasan Malaysia Madani yang diperkenalkannya.

Pada Sabtu, genap 100 hari pertama Anwar memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan ini sudah tentu membuatkan rakyat berharap lebih banyak kebaikan dan kemajuan negara dicapai.

Tempoh 100 hari juga merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditentukan bagi memastikan sama ada Anwar menunjukkan prestasi baik sebagai pemimpin nombor satu negara.

file7nrne2a859fh8u78lwg

Hari pertama Anwar memulakan tugas di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 25 November lalu.

Namun, Mohd Shukri Abdullah menerusi hantaran di laman Facebook berpendapat, Anwar perlu diberi tempoh dua hingga tiga tahun bagi memastikan beliau dapat mentadbir negara dengan baik.

Hal ini kerana, katanya, kewujudan pembangkang sememangnya tidak sebulu dengan kerajaan ketika ini cukup untuk check and balance Kerajaan Perpaduan.

"Mengubah kerajaan tidak dapat mengubah perit hidup rakyat. Yang pasti akan lebih perit jika kita hanya teruja untuk ubah kerajaan demi glamour dan sakau duit rakyat," katanya.

Berpendapat sama, Syam Balad berkata: "Menilai selepas dua atau tiga tahun mungkin bijak dan akademik. Baru berapa bulan je (memerintah)."

Mohd Haizad menambah: "Terbukti DSAI mampu menggalas tugas PM kerana beliau berpengalaman sebagai Timbalan Perdana dan Menteri Kewangan yang cemerlang, malah beliau mempunyai hubungan luar negara yang baik, dikenali oleh antarabangsa, biasa menjadi penasihat bank-bank negara luar."

Sementara itu, tidak kurang pula ada yang mengecam pentadbiran Anwar seolah-olah hanya ingin mencari kesalahan kerajaan terdahulu.

MOose Aiqan menulis: "100 hari, sejak angkat sumpah sebagai Perdana Menteri sehingga sekarang. Hanya cari kesalahan kerajaan lampau. Itu sahaja. Lebih baik jadi SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Tak payah jadi PM."

Ujar Wann Black: " Tak ada apa-apa perkembangan, tak ada berjiwa rakyat pun Perdana Menteri ni. Cuma berhati batu, balas dendam di kepalanya. Utamakan keluarga dan kroninya sahaja."

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebelum ini memperkenalkan hala tuju Kerajaan Perpaduan, iaitu Malaysia Madani, sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Terdahulu, penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian dilapor berkata, perwatakan tegas Anwar ditonjolkan dari tindakan dan keputusannya yang mengetepikan agenda bersifat populis, walaupun ia sebenarnya boleh membantu memberi rating penerimaan rakyat yang lebih baik terhadapnya.

Beliau berkata, Anwar sebaliknya mengutamakan usaha ‘meluruskan’ kembali pelbagai sektor dalam negara untuk meningkatkan ekonomi negara, supaya impaknya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.

"Jika beliau mahu menjadi seorang populis, beliau boleh sahaja membenarkan pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), atau mengotakan janji-janji ketika menjadi pembangkang sebelum ini seperti dibangkitkan ramai pihak seperti harga petrol atau terbaharu soal menaikkan gaji penjawat awam.

"Barangkali 100 hari ini lebih kepada fasa pengubahsuaian, bagaimana nak menstabilkan ekonomi dan juga kerajaan yang tertubuh dari pelbagai parti. Tambahan, beliau hadir ketika negara berdepan krisis politik yang tidak menentu, ekonomi gawat dan sektor kesihatan yang memerlukan pemerhatian," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram