KWSP umum dividen konvensional 5.35 peratus, kadar terendah sejak 2020


  • Massa
  • Sabtu, 04 Mac 2023

Kadar dividen KWSP yang diumumkan kali ini lebih rendah berbanding 2021. — Gambar hiasan

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2022.

Ia melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM5.70 bilion, menjadikan jumlah pembayaran keseluruhan untuk tahun 2022 sebanyak RM51.14 bilion

Kadar yang diumumkan itu lebih rendah berbanding 2021, di mana dividen bagi Simpanan Konvensional adalah sebanyak 6.10 peratus, manakala 5.65 peratus bagi Simpanan Syariah.

Selain itu, ia juga mencatatkan kadar terendah sejak 2020 bagi Simpanan Konvensional (5.20 peratus) dan paling rendah untuk Simpanan Syariah sejak diperkenalkan pada 2017.

Dividen itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP pada Sabtu.

"Pembayaran sebanyak RM51.14 bilion ini akan memanfaatkan lebih daripada 15 juta ahli KWSP, termasuk ahli daripada sektor tidak formal yang berdaftar dengan i-Saraan, iaitu sebuah program caruman sukarela berasaskan insentif.

"Kami percaya dividen ini serta pengukuhan prestasi KWSP yang berterusan akan memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, terutamanya apabila dilihat dari aspek jangka masa panjang.

"Walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kami akan terus mengutamakan kejayaan jangka panjang portfolio pelaburan dan membina semula simpanan persaraan ahli kami," ujarnya.

Setakat 31 Disember 2022, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar lebih rendah sebanyak RM55.33 bilion, berbanding RM68.89 bilion pada 2021, didorong oleh ketidaktentuan pasaran dan penilaian pasaran ekuiti dan pendapatan tetap yang lebih lembab. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram