KECEDERAAN yang dialami seseorang pemain bola sepak dalam sesuatu perlawanan tidak boleh dielak, lagi-lagi dengan corak permainan kasar yang ditunjukkan oleh pasukan lawan.
Dalam Liga Malaysia pula, perkara tersebut juga kerap berlaku lebih-lebih lagi sekiranya keadaan padang tidak berada di tahap optimum.
Melihat kepada dua aksi awal Liga Super musim ini, beberapa kecederaan sudah berlaku sehingga menyebabkan pihak kejurulatihan runsing untuk menurunkan kesebelasan utama mereka.
Pada masa sama, kecederaan yang dihadapi pemain 'harapan' pada awal musim menjadi satu kerugian buat mereka untuk memberikan persembahan terbaik.
Namun, di sebalik isu yang sukar dibendung itu, ia masih dilihat sebagai satu peluang keemasan buat pemain yang kerap memanaskan bangku simpanan lebih-lebih lagi dalam kalangan penjaga gol kedua.
Sekiranya mereka mampu memberikan persembahan terbaik, tidak timbul sebarang persoalan sekiranya khidmat mereka akan terus digunakan. Pada masa sama, perkara tersebut dilihat boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk menunjukkan bakat sedia ada mereka yang sudah lama terpendam dalam arena bola sepak tanah air sebelum ini.
Kalau nak tahu, tiga penjaga gol yang mendapat peluang selepas penjaga gawang utama kelab mereka cedera adalah:
1. Zarif Irfan Hashimuddin (Sri Pahang FC)
Zarif Irfan. — Facebook/SriPahangFC
Kecederaan dialami Izham Tarmizi ketika skuad Tok Gajah menentang Negeri Sembilan pada Ahad lalu memberikan peluang kepada pemain berusia 28 tahun berkenaan untuk menunjukkan kemampuannya pada pasukan dan juga penyokong.
Jika dilihat pada aksi penjaga gawang berketinggian 184 sentimeter itu tampil cemerlang sekali gus menunjukkan bakatnya di hadapan ratusan penyokong Sri Pahang.
Hal itu kerana, pada aksi perlawanan tersebut, Zarif berjaya mengagalkan beberapa percubaan dan membantu Sri Pahang pulang dengan satu mata.
2. Damien Lim (Sabah FC)
Damien Lim. — Facebook/Damien Lim
Ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat di benteng terakhir pasukan Sabah FC pada musim lalu menjadi medan terbaik buat penjaga gol muda, Damien Lim untuk terus beraksi cemerlang bersama pasukannya.
Damien mula mendapat perhatian dalam kancah bola sepak tempatan setelah mendapat kepercayaan Datuk Ong Kim Swee untuk diturunkan dalam kesebelasan utama bagi menggantikan penjaga gol, Khairul Fahmi yang mengalami kecederaan.
Seperti mahu membuktikan kehebatan dirinya, Damien dilihat bekerja keras setiap kali diturunkan sebagai kesebelasan utama pasukan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila dia mencatat sejarah tersendiri apabila muncul sebagai penjaga gawang bagi kelab Sabah FC yang berjaya menyelamatkan sepakan penalti penyerang berbisa pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022.
Sejak beraksi dalam kesebelasan utama Sabah, anak saudara kepada bekas penjaga gol kebangsaan, Lim Chuan Chin itu turut membuktikan kecemerlangannya sebagai pertahanan akhir gawang skuad Sang Badak.
3. Muhammad Haziq Nadzli (Johor Darul Takzim)
Haziq Nadzli. — Facebook/JohorSouthernTigers
Nama Muhammad Haziq Nadzli mula meniti bibir peminat selepas dia menggantikan penjaga gawang utama Mohd Farizal Marlias tercedera ketika pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada aksi Liga Super musim lalu.
Haziq yang sebelum ini cemerlang menjadi penjaga gawang Johor Darul Takzim II (JDT II) membuktikan dia setanding dengan pemain 'senior' yang lebih berpengalaman.
Malah, ketangkasan Haziq menjaga gawang skuad Harimau Selatan ketika menentang pasukan lain patut diberi pujian. Dia juga dilihat agresif setiap kali diturunkan sekali gus memberi tekanan yang tinggi kepada pemain lawan untuk menjaringkan gol.
Begitupun Haziq perlu bersaing dengan Ahmad Syihan Hazmi yang nampaknya sudah mula menempatkan dirinya sebagai penjaga gol utama JDT musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram