Dikritik fans Indonesia, potensi sebenar Saddil Ramdani makin menyerlah bersama Sabah, OKS


  • Podium
  • Rabu, 01 Mac 2023

Saddil meledak dua gol pada perlawanan Sabah FC menentang PDRM FC. — Facebook/SabahFC

BARU memulakan musim ini melalui aksi sulung Liga Super, pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani terus cemerlang menyinari arena bola sepak tanah air.

Manakan tidak, pemain sayap skuad Sang Badak itu dikatakan sebagai antara tonggak utama dalam kemenangan 4-0 Sabah ke atas PDRM FC pada Sabtu.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas, Sabah itu, pemain berusia 24 tahun tersebut berjaya menjaringkan dua gol selain mencipta satu bantuan gol, sekali gus meletakkan pasukannya berada di situasi yang sangat selesa ketika perlawanan berkenaan.

Namun, di sebalik kejayaan pemain import itu, Saddil mempunyai kisah tersendiri apabila kehebatannya hanya dilihat selepas dia berkelana ke Liga Super.

Sebelum ini, media Indonesia menyifatkan pemain berasal dari Raha, Indonesia itu kurang menyerlah apabila beraksi bersama pasukan kebangsaannya.

Malah, pemain berketinggian 172 sentimeter itu juga pernah dikritik kerana mempunyai masalah disiplin pada suatu ketika dahulu.

331944200_1236885920575117_469451568930573265_n

Saddil dilihat semakin selesa bermain di pentas Liga Malaysia bersama skuad Sang Badak. — Facebook/Sabah FC

Seperti ingin melupakan kisah lamanya, penyerang itu bangkit bersama skuad Sang Badak dan prestasi yang ditunjukkan di atas padang juga semakin meningkat.

Mengharungi musim ketiga bersama pasukan Borneo itu, Saddil dilihat semakin selesa bermain di pentas Liga Malaysia selain juga menunjukkan kematangan dalam menggalas peranan yang diberikan dalam setiap perlawanan.

Melihat kepada prestasinya itu, penyokong fanatik Sabah FC berasa gembira dengan keputusan pihak pengurusan untuk menyambung kontrak Saddil ketika jendela perpindahan lalu.

Kegembiraan itu diluahkan Mc Ken menerusi kelab peminat di halaman Facebook Official Sabah FC Fans Club 2023.

"Saddil Ramdani, nasib baik kontrak pemain ini disambung untuk Sabah FC," katanya.

Seorang lagi penyokong, Babang Mamalz berkata, media di Indonesia mengatakan Saddil kurang menyerlah di sana tetapi memberikan yang terbaik di Sabah.

"Media Indonesia banyak komen Saddil kurang menyerlah dalam pasukan kebangsaan tetapi apabila main untuk kelab (Sabah FC) terus memberikan yang terbaik 100 peratus.

"Ini bermakna jurulatih di sana belum boleh menandingi Datuk Ong Kim Swee (OKS) serta melihat potensi Saddil," katanya.

Pendapat Babang itu turut dipersetujui oleh Max Ole yang berasakan Saddil lebih cemerlang sepanjang menyarung jersi skuad Sang Badak.

"Taktikal dan skil yang digunakan oleh OKS menjadi pada Saddil, mungkin kerana itu juga dia cemerlang di sini. Dia juga banyak diberikan peluang," katanya.

Sementara itu, Amy Osong Galawis berkata, kejayaan Saddil itu sedikit sebanyak dibantu oleh ketua jurulatih Sabah FC.

"Saya ingat dia menjadi di Sabah sebab kebijaksanaan Datuk OKS kerana dia nampak kebolehan dan kelebihan Saddil," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram