Sembilan tahun menghilang, kerajaan takkan berhenti cari pesawat MH370


  • Primer
  • Isnin, 06 Mac 2023

Orang awam hadir ketika hari peringatan kelima tragedi kehilangan pesawat MH370 pada Mac 2019.

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan bahawa, beliau tidak akan sesekali menghentikan usaha mencari atau siasatan berhubung tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia tidak pernah melupakan tragedi yang berlaku pada 8 Mac 2014 itu dan akan menyambung semula operasi pencarian bagi mengesan lokasi terakhirnya jika terdapat maklumat baharu yang boleh dipercayai.

file74bfjuxxd0x1m5r8fe43

Ahli keluarga dan waris mangsa tragedi penerbangan MH370 menyalakan lilin ketika hari peringatan kelima pada Mac 2019.

Katanya, Rabu ini merupakan ulang tahun kesembilan tragedi penerbangan MH370 hilang tanpa jejak, yang telah meninggalkan seribu tanda tanya kepada ahli keluarga mangsa mengenai apa yang sebenarnya menimpa pesawat malang itu.

Loke berkata, tiada ucapan atau rasa simpati yang mampu mengubati atau memadam kesedihan serta kesengsaraan ahli keluarga 239 penumpang dan anak kapal MH370 yang kehilangan orang tersayang.

"Rakyat Malaysia akan sentiasa bersama anda dan berkongsi beban kesengsaraan ini. Kami menghormati semua nyawa yang terkorban dan tidak akan pernah melupakan mereka," menurutnya dalam satu kenyataan.

Pada 8 Mac 2014, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, namun pesawat MH370 atau bangkainya gagal ditemukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram